Anda di sini

Penganggur dipenjara 10 tahun kerana rogol kekasih bawah umur 

Advertisement
 

KUCHING: Perbuatan seorang penganggur lelaki yang merogol kekasihnya, remaja perempuan berusia 13 tahun sehingga melahirkan seorang anak lelaki membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Hakim Jason Juga turut mengenakan tiga sebatan terhadap lelaki yang berasal dari Kampung Pulo Ulu tersebut. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes itu pada hari ini.

Lelaki itu didakwa merogol mangsa semasa berada di rumah mangsa, di Petra Jaya di sini, pada Mac 2019.

Menurut fakta kes, tertuduh dan mangsa mula menjalinkan hubungan pada 3 Januari 2019. 

Selepas kejadian itu, mangsa disahkan hamil dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendedahkan bahawa bayi berkenaan adalah anak kandung tertuduh dan mangsa.

Difahamkan, seorang doktor wanita di sebuah klinik di sini membuat laporan polis setelah merawat seorang pesakit perempuan bawah umur (mangsa) yang sarat mengandung tahun lalu. 

Justeru, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.
 

  • oleh
  • Advertisement