Anda di sini

Pang sah bertanding PRN, namun lokasi DUN belum muktamad

Advertisement
PANG
PANG

KOTA KINABALU : Bekas penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai dua penggal Datuk Pang Yuk Ming mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan tiket Parti Cinta Sabah (PCS). 

Timbalan Presiden PCS yang juga bekas Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) itu  berkata setakat ini belum ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimuktamadkan. 

"Kita masih terbuka menerima kerjasama dengan parti lokal dan saya masih melihat kemungkinan untuk bertanding samaada di DUN kawasan Parlimen Kalabakan atau Tawau atau Kota Kinabalu," katanya, di sini.

Pang berkata hasratnya untuk bertanding pada PRN kali ini juga adalah meneruskan agenda Sabahan bersama barisan pemimpin-pemimpin yang berpengalaman luas dalam PCS. 

Beliau percaya masa hadapan Sabah juga akan ditentukan dengan agenda asal Perjanjian Malaysia 1963 sebagai teras perjuangan untuk memastikan hak-hak saksama Sabah diperolehi. 

"Kami mahu memenuhi citarasa orang Sabah kerana impian mereka juga harapan kami dan pada masa sama kita mengutamakan kerjasama dengan parti-parti lokal. 

"Kami juga bukan mahu bermusuh dengan parti lain termasuk dari luar Sabah, tapi kami percaya PCS adalah parti Sabahan yang benar-benar memahami denyut nadi orang Sabah," katanya. 

Menurutnya, Sabah dilihat mempunyai potensi besar untuk membangun khususnya dalam bidang pelancongan namun belum diteroka sepenuhnya termasuk pembangunan landskap.

Malah, Sabah disifatkan mempunyai sumber hasil yang banyak dan memerlukan pentadbiran Kerajaan Negeri yang padu untuk menaikkan kembali taraf ekonomi negeri yang terjejas teruk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. 

"Saya percaya agenda penting membangunkan ekonomi Sabah adalah dengan mempunyai pasukan kepimpinan berkredibiliti yang dapat memastikan nasib rakyat dan negeri ini terbela. 

"Saya juga percaya kredibiliti Presiden PCS untuk mengetuai agenda kita memperjuangkan nasib Sabah kerana berpengalaman luas bukan hanya di peringkat negeri dan nasional tetapi juga antarabangsa. ," katanya.

  • oleh
  • Advertisement