Anda di sini

Lelaki warga Indonesia tak mengaku libas kenalan guna parang

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah apabila didakwa oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan kenalannya menggunakan sebilah parang pada 18 Julai lalu.

Stefen Lim, 44, yang berasal dari Singkawang, Indonesia, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan Agustinus Saidi, juga seorang warga Indonesia, di sebuah rumah pekerja di Matang Batu 10, di sini, pada jam 1 tengah hari dengan bersenjatakan parang. 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh pergi ke tempat kejadian untuk meminta kerja.

Dia kemudian diarahkan oleh pekerja di sana yang juga merupakan pengadu kes ini, untuk mula bekerja pada 20 Julai 2020. 

Tertuduh seterusnya hendak balik, namun dihalang oleh pengadu kerana bimbang terdapat sekatan polis dan mengarahkannya untuk balik keesokan hari.

Tertuduh marah secara tiba-tiba dan masuk ke dalam bilik pekerja untuk mengambil sebilah parang yang diletakkan di bawah televisyen dan bertindak menetak mangsa yang juga merupakan pekerja di sana. 

Justeru, pengadu terus berlari ke rumah dan memanggil bapa dan rakan-rakannya untuk menghulurkan bantuan. 

Bapa pengadu juga menangkap tertuduh dan dia seterusnya di bawa ke Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan lanjut. 

Untuk perbuatan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara selama hingga sepuluh tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Mahkamah menetapkan 10 September depan sebagai tarikh pengurusan kes dan tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh.

Berikutan itu, lelaki yang tidak diwakili peguam itu kini ditahan lanjut sehingga tarikh sebutan kes seterusnya. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

  • oleh
  • Advertisement