Anda di sini

Lelaki 'penjual organ' serah diri di IPD Kuching - Dev

Advertisement
 

KUCHING: Lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan pemerdagangan organ manusia secara haram tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 1.45 tengah hari tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar (gambar) berkata suspek, 48, tampil di IPD Kuching selepas menyedari dirinya diburu polis sejak beberapa hari lepas.

"Suspek menyerah diri, dan akan direman pagi esok (Jumaat) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Suspek dikehendaki polis untuk membantu siasatan berikutan satu artikel dalam portal berita yang berpangkalan di United Kingdom mendakwa suspek terlibat dalam aktiviti pemerdagangan organ dengan menarik mangsa yang dilanda kemiskinan dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka. 

Portal tersebut turut melaporkan, lelaki itu mendedahkan dia telah mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram. 

"Mereka semua serius. Tidak ada yang mahu menjual buah pinggang mereka jika tidak ada masalah kewangan,” katanya dalam portal berita tersebut.

Selain itu, suspek turut dilaporkan mengenali lebih 100 orang yang berpotensi menjual buah pinggang.

Dalam artikel tersebut, suspek dilapor menawarkan penjualan buah pinggang dengan pakej pelancongan pemindahan organ berjumlah £85,000 (RM466,440) secara haram.

Bayarannya termasuk rasuah secara 'bawah meja' supaya pembedahan transplan boleh dilakukan di sebuah klinik di Manila, Filipina.

Gambar suspek berjaya dirakam menggunakan kamera tersembunyi dan jelas dalam video dirakam lelaki itu berkata 'Di Manila, wang tunai adalah raja'.

  • oleh
  • Advertisement