Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah ambil pekerja tiada pas sah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Pemilik pusat hiburan mengaku tidak bersalah mengambil seorang warganegara Filipina yang tidak mempunyai pas yang sah sebagai pekerja di premisnya.

Vun Chee Fui, 38, telah didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, di sini.

Dia didakwa mengambil pekerja seorang wanita berumur 23 tahun di sebuah pusat hiburan, di Beaufort pada 11 Julai 2019 kira-kira jam 9.24 pagi.

Kesalahan terbabit adalah di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi tiap seorang yang diambil bekerja.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Muhammad Shafiq memberi tawaran jaminan sebanyak RM2,500 tetapi peguam Luke Ressa Balang yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang lebih rendah kerana perlu menyara seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 25 September tahun ini manakala tarikh perbicaraan pada 21-22 Januari tahun hadapan.

Tertuduh juga dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Sementara itu, mahkamah yang sama telah menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara kepada seorang warganegara asing kerana memasuki Sabah tanpa pas yang sah.

Tertuduh, Ajilani Rony mengaku bersalah di hadapan hakim di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Ajilani telah ditangkap pada 3 Ogos tahun ini kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan pas yang sah kepada pihak imigresen.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement