Anda di sini

Lazada tawar penjimatan sehingga RM37 sempena sambutan Bulan Kemerdekaan

Advertisement
LEO CHOW
LEO CHOW

KUALA LUMPUR: Bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan ini, Lazada Malaysia menawarkan  penjimatan sehingga RM37 melalui kempen Beli Barangan Malaysia dan PENJANA Shop Malaysia Online dan berlangsung secara serentak di Lazada, menawarkan kredit serta baucar bernilai sehingga RM29 untuk pengguna Lazada Wallet.

Pelanggan juga boleh mendapati baucar Penghantaran Percuma bernilai RM8 dan diskaun-diskaun hebat sehingga 70 peratus untuk produk jenama popular tempatan, seperti Bonia, Sembonia, Desamall@Online, MyFishman, Rams Home Décor dan banyak lagi.

Kedua-dua kempen tersebut merupakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang bertujuan untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan produk tempatan, di samping memacu pemulihan ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leo Chow berkata, dengan lebih dari 320,000 PKS di seluruh negara yang tersenarai dalam pasaran eDagang Lazada dan juga peningkatan peniaga tempatan baharu yang lebih daripada 200 % dalam tempoh separuh tahun pertama, Lazada telah menjadi destinasi pilihan untuk usahawan tempatan menaik taraf perniagaan mereka sebagai jaminan masa hadapan.

“Kami berasa bangga apabila melihat segala usaha serta komitmen kami dalam menyokong perniagaan tempatan, menerusi program rangsangan serta latihan Lazada University, berjaya membantu mengatasi halangan pendigitalan mereka.”

“Dalam fasa yang seterusnya, kami berharap untuk terus berganding bahu dengan KPDNHEP dan MDEC bagi memacukan pertumbuhan ekonomi digital negara menerusi kedua-dua kempen ini. Kami berdiri teguh bersama rakyat Malaysia dengan memberi penjimatan serta insentif kepada para pembeli dalam talian bagi membantu pemulihan ekonomi negara dan, pada masa yang sama, membolehkan PKS tempatan untuk turut menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.”

“Dengan sokongan daripada komuniti pelanggan, peniaga, rakan jenama, dan rakan kongsi, kami menyasarkan untuk membina sebuah ekosistem digital yang mantap untuk negara dalam jangka panjang,” katanya.

Selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’, rakyat Malaysia boleh menzahirkan sokongan terhadap peniaga tempatan melalui kempen Beli Barangan Malaysia dari KPDNHEP di Lazada. Kempen ini menawarkan promosi eksklusif ke atas produk-produk tempatan daripada peniaga tempatan sehingga 31 Disember 2020.

Sebagai insentif untuk pembeli menyokong jenama dan produk tempatan di dalam platform ini, Lazada bekerjasama dengan KPDNHEP untuk menawarkan baucar Penghantaran Percuma RM8 bagi barangan dan jenama tempatan dan diskaun sehingga 70 peratus  untuk hasil segar tempatan, snek kanak-kanak, pakaian dan sebagainya.

Melalui Inisiatif PENJANA Shop Malaysia Online pula, Lazada menawarkan penjimatan sehingga RM29 kepada para pengguna mulai hari ini hingga 30 September 2020 dengan rebat kredit RM5, tanpa perbelanjaan minimum, untuk pengguna Lazada Wallet yang baru dan baucar diskaun sebanyak RM3, RM6 serta RM15 untuk semua pengguna Lazada Wallet.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman Kempen ‘Buy Malaysia’ di Lazada: https://lzd.co/SuaraHatiMalaysia  dan Kempen ‘PENJANA Shop Malaysia Online’ di Lazada: https://lzd.co/ShopMalaysiaOnline.

Advertisement