Anda di sini

Jawatankuasa PPKK Sandakan akan jalin kerjasama dengan pihak sekolah, bantu pelajar miskin tegar

Advertisement
 Iswadiman (lima, kanan) menyampaikan sumbangan pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman kepada Guru Besar SK Merpati pada Program Kami Peduli di dewan terbuka sekolah itu.
SUMBANGAN: Iswadiman (lima, kanan) menyampaikan sumbangan pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman kepada Guru Besar SK Merpati pada Program Kami Peduli di dewan terbuka sekolah itu.

SANDAKAN: Jawatankuasa Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Sandakan akan menjalin kerjasama dengan lebih banyak pihak sekolah di daerah ini dalam usaha membantu pelajar yang dikategorikan sebagai miskin tegar.

Bagi tujuan itu, pihak sekolah disaran menyalurkan maklumat setiap pelajar bermasalah yang dikenalpasti kepada PPKK Sandakan, bagi memudahkan penyediaan keperluan untuk disalurkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa PPKK Sandakan Iswadiman Shamsuddin berkata, antara yang boleh dilaksanakan secara bersama adalah melalui Program Ziarah Cakna, salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyantuni keluarga dan pelajar bermasalah di daerah ini.

"Kita melihat program cakna yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah di daerah ini antara kaedah kerjasama yang boleh kita lakukan bersama khususnya bagi membantu pelajar-pelajar bermasalah seperti memerlukan bantuan peralatan sekolah mahupun keperluan di rumah.

"Sebab itu kita sebagai Jawatankuasa PPKK amat mengharapkan bantuan pihak sekolah untuk memaklumkan kepada PPKK setiap program cakna yang dilaksanakan agar kita dapat menyumbang bantuan kepada mereka," katanya.

Beliau berucap demikian pada Program Kami Peduli Anjuran PPKK Sandakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) Sandakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati, Sandakan.

Terdahulu, program yang sama telah diadakan di SMK Perempuan, Sandakan.

Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Sandakan turut menganjurkan program sama di SMK Sung Siew dan SK Sungai Anib1, Sandakan.

Mengenai Program Kami Peduli, Iswadiman berkata ia antara usaha MPKK Sandakan untuk membantu pelajar sekolah terpilih di sini agar mematuhi saranan kerajaan dalam mencegah dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Ia juga bagi meningkatkan motivasi kanak-kanak dalam meneruskan sesi persekolahan dengan norma baharu selain memberi peluang kepada ahli MPKK menganjurkan program bersama PPKK dan PKKK.


 

  • oleh
  • Advertisement