Anda di sini

Antonio Banderas jalani kuarantin selepas didapati positif COVID-19

Advertisement
 Banderas mengumumkan pada ulang tahunnya yang ke-60 bahawa dia sedang menjalani kuarantin selepas didapati positif COVID-19. — Gambar AFP
JALANI KUARANTIN: Banderas mengumumkan pada ulang tahunnya yang ke-60 bahawa dia sedang menjalani kuarantin selepas didapati positif COVID-19. — Gambar AFP

PELAKON terkenal Sepanyol Antonio Banderas mengumumkan ketika ulang tahunnya yang ke-60 pada Isnin lepas bahawa dia sedang menjalani kuarantin selepas didapati positif koronavirus namun berasa ‘sihat-sihat sahaja.’

“Saya terpaksa menyambut ulang tahun ke-60 saya dalam kuarantin selepas diuji positif  penyakit COVID-19,” kata Banderas, yang terkenal dengan watak dalam filem seperti ‘The Mask of Zorro’ dan ‘Philadelphia’, dalam satu kenyataan yang dihantar dalam media sosial yang disertai sekeping gambar hitam putihnya sendiri ketika masih bayi.

“Saya rasa agak sihat, hanya sedikit letih berbanding biasa, dan yakin bahawa saya akan pulih secepat mungkin,” tambahnya.

“Saya akan mengambil kesempatan daripada pengasingan ini untuk membaca, menulis, berehat dan terus melakukan rancangan untuk mula memberikan makna kepada 60 tahun saya yang telah berlalu, di mana saya hadir dengan penuh keinginan dan semangat.”

Banderas, yang mengalami serangan jantung pada 2017 di Britain di mana beliau memiliki sebuah rumah, tidak menyatakan di mana dia tinggal.

Beliau tidak menghadiri gala kebajikan yang sepatutnya dihoskannya pada Ahad di Marbella di Costa de Sol, selatan Sepanyol, tidak jauh dari kampung halamannya, Malaga.

Pada Januari lepas pelakon tersebut telah menerima pencalonan Oscar pertamanya bagi wataknya dalam filem pengarah Sepanyol Pedro Almodovar ‘Pain and Glory’ di mana beliau memegang watak seorang pengarah filem yang tidak menerima apa yang berlaku dalam hidupnya.

Pada akhirnya anugerah bagi pelakon lelaki terbaik bagi watak utama telah jatuh kepada pelakon Hollywood Joaquin Phoenix. – AFP

Advertisement