Anda di sini

Wanita keldai dadah terlepas hukuman gantung

Advertisement
Eva semasa diiringi pegawai penjara di lobi Mahkamah Kuching, hari ini.
Eva semasa diiringi pegawai penjara di lobi Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia kini menarik nafas lega apabila Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini menerima rayuannya agar tidak dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara 19 tahun. 

Sidang panel hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Rohana Yusuf bersama Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Rahman Sebli mengetepikan hukuman gantung sampai mati yang dikenakan terhadap perayu, Eva Syliviana, 53, atas kesalahan mengedar dadah jenis syabu pada 2014. 

"Setelah meneliti penghujahan pihak pendakwaan dan pihak perayu, mahkamah sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun. 

"Hukuman berjalan mulai dari tarikh perayu ditangkap iaitu pada 5 November 2014," ujar Hakim Datuk Rohana dalam persidangan yang dilaksanakan menerusi aplikasi dalam talian. 

Terdahulu, perayu yang berasal dari Jakarta itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Rhodzariah Bujang pada 11 Oktober 2016, selepas mendapati dia bersalah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 

Justeru, perayu menerusi peguamnya Ranbir Singh menulis perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meminda pertuduhan perayu kepada Seksyen 39A(2) ADB 1952.

Perayu kemudian didakwa semula hari ini mengikut pertuduhan pindaan dan mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. 

Berdasarkan pertuduhan pindaan, ibu tunggal kepada enam orang anak itu didakwa memiliki syabu seberat 4,874 gram pada 5 November 2014, di Pejabat Unit Khas Pemeriksaan (UKPP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, jam 11.30 malam. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta sama. 

Pihak berkuasa menemui dadah tersebut dalam bagasi milik perayu yang menaiki penerbangan dari Hong Kong dan kemudian transit di Kuala Lumpur sebelum tiba di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Musli Abdul Hamid. 

  • oleh
  • Advertisement