Anda di sini

Suami didakwa bunuh pensyarah UIAM

Advertisement
 Mohd Hairil didakwa di Mahkamah Majistret Sepang semalam atas pertuduhan membunuh isterinya yang merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada akhir Julai lepas. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Mohd Hairil didakwa di Mahkamah Majistret Sepang semalam atas pertuduhan membunuh isterinya yang merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada akhir Julai lepas. — Gambar Bernama

SEPANG: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Sepang di sini, semalam atas pertuduhan membunuh isterinya yang merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada akhir Julai lepas.

Tertuduh Mohd Hairil Izzuan A Samad, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, namun tiada pengakuan direkodkan.

Dia dituduh membunuh Maizatulnisa Othman, 40, di Tasik Cyber Valley Park, Jalan Persiaran Sepang, Cyberjaya, antara 11 pagi, 29 Julai dan 1.04 pagi, 30 Julai lepas.

Mohd Hairil Izzuan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selepas fakta pertuduhan dibacakan, tertuduh yang memakai baju serba hitam meminta tempoh diberikan untuk melantik peguam.

Mahkamah menetapkan 14 Sept depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memaklumkan mahkamah bahawa keluarga tertuduh sudah dimaklumkan mengenai pertuduhan semalam tetapi tiada ahli keluarganya yang hadir di mahkamah.

Sebelum ini dilaporkan Maizatulniza, pensyarah UIAM ditemukan mati di dalam kereta berhampiran Tasik Cyber Valley Park, pada 30 Julai lepas. — Bernama

Advertisement