Anda di sini

Menghimbau kembali kunjungan ke Rembang, Jawa Tengah

Advertisement
Akar kayu jati, batik Lasem, makam Kartini dan pesan Sunan Bonang
Akar kayu jati, batik Lasem, makam Kartini dan pesan Sunan Bonang

KALAU ada orang yang bertanya apa yang menarik di Rembang, sebuah kabupaten atau daerah di Jawa Tengah, saya mungkin tidak dapat menceritakannya dengan tepat dan lengkap.

Saya hanya boleh berkisah kesan kunjungan ke Rembang dan tempat-tempat yang sempat saya kunjungi ketika pada satu hari, beberapa tahun yang lepas, saya berkunjung ke sana.

Rembang bersempadan dengan Teluk Rembang atau Laut Jawa di sebelah utaranya, Tuban Jawa Timur di sebelah Timur, Blora di Selatan dan Pati di sebelah baratnya.

 Kenangan bersama penulis sejarah Lasem. M Akrom Unjiya.
BERSAMA PENULIS: Kenangan bersama penulis sejarah Lasem. M Akrom Unjiya.

Tetapi yang pertama sekali saya lakukan ialah mengadakan kunjungan kepada Bupati H Abdul Hafidz. Kemudian selepas berkenal-kenalan saya di bawa berkunjung ke Makam Pahlawan R.A Kartini yang terletak di Desa Bulu, jalur Rembang-Blora.

Rembang yang luasnya kira-kira 1,014.10 kilometer persegi itu memiliki penduduk kira-kira 635,483 orang. Rembang juga adalah sebuah daerah yang memiliki banyak komoditi yang boleh dieksport antara akar pohon jati, yang dijadikan hiasan rumah, kerusi dan meja dan sebagainya.

Saya sempat singgah di Maju Jaya Shop, pengeluar perabot dari akar kayu jati. Kebanyakan hasil produknya dieskport untuk memenuhi permintaan dari luar negeri.

Perabot dari akar kayu jati banyak diminati di negara-negara Eropah, antaranya Belanda dan Jerman. Memang ada juga yang berminat dengan perabot dari akar pohon mahoni tetapi perabot dari akar kayu jati memiliki nilai seni yang lebih tinggi.

 Kelihatan Masjid Jamek Lasem.
MASJID LASEM: Kelihatan Masjid Jamek Lasem.

Harga produk perabot akar kayu jati boleh dijual antara Rp450,000 (RM127.82) hingga Rp7,000,000 (RM1,988) seunit bergantung ukuran serta nilai seni ukirannya.

Produk akar kayu jati selalu mendapat permintaan dari luar negeri sehingga setiap kali pembelian boleh mencecah hingga satu kontena.  Ini agak berbeza dengan pembeli domestik yang boleh dikatakan masih kurang berminat berbanding minat yang ditunjukkan pasaran dari luar negeri.

Satu lagi tempat yang sempat saya kunjungi ialah pengusaha batik Lasem. Batik Lasem dikatakan memiliki ciri yang tersendiri. Lasem adalah sebuah kecamatan di Rembang. Batik Lasem banyak dipengaruhi budaya Jawa dan Cina. Mengapa terjadi begitu?

Sebabnya, Lasem adalah tempat pendaratan pertama pedagang Cina di Pulau Jawa. Itulah sebabnya, di Lasem, banyak bangunan yang bercirikan seni bina Cina, selain banyak juga kita temui kuil dan tokong Cina, sehingga Lasem sendiri dijuluki dengan nama Kota Cina di Jawa.

 Pengunjung di Makam Mbah Sambu di Lasem.
ZIARAH: Pengunjung di Makam Mbah Sambu di Lasem.

Perpaduan motif batik antara motif tradisi Jawa dan Cina menjadikan batik yang dihasilkan, agak menarik. Motifnya khas dan tidak terdapat di daerah lain. Kita boleh melihat ada motif naga, ada motif burung hong, motif motif lain yang terdapat dalam budaya Cina.

Ada motif gambar bunga berserakan, yang disebut motif segar jagad, ada motif latuh atau latohan  yang diambil daripada rumpai laut.

Selain itu ada juga yang disebut motif watu pecah. Menurut pencinta batik, motif ini terinspirasi dari pembinaan Jalan Anyer-Panarukan dimana masyarakat ketika itu diminta memecahkan batu sehingga menjadi kerikil.

Mungkin kerana motif-motif yang terdapat dalam batik Lasem sukar dilukis, menyebabkan banyak pemimat batik yang suka mencari Batik Lasem.

Selain itu, batik Lasem juga didominasi warna merah darah ayam. Ia dihasilkan dari pewarna alami, iaitu dari akar pohon mengkudi yang menghasilkan warna merah terang pada batik Lasem.

Kebanyakan batik lasem adalah batik tulis yang seluruh proses pembuatannya menggunakan tangan dan memerlukan waktu berbulan-bulan untuk menghasilkan batik yang bermutu tinggi. Kerana itulah, harga batik Lasem agak mahal, mulai dari harga ratusan ribu rupian hingga puluhan juta rupiah. Walaupun begitu, ia tetap memiliki peminat yang tidak berkira untuk memilikinya.
Masyarakat Lasem tidak dapat dipisahkan dengan budaya batik. Di setiap desa, kita boleh pembuat batik dan kita boleh berkunjung ke tempat-tempat pembuat batik di Lasem.

Namun kerana waktu yang terhad, kami hanya dapat berkunjung ke salah satu usahawan batik di Lasem.

Dalam kunjungan ke Lasem itu juga, kami sempat singgah di Masjid Jamek Lasem. Di sana saya sempat berkenalan dengan penulis sejarah Lasem, M Akrom Unjiya.

Masjid itu adalah sebuah masjid yang pertama kali didirikan di Lasem, sebuah masjid yang sering dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar negeri. Ia juga terkenal kerana di sana terdapat makam Mbah Sambu atau Sayyid Abdurohman, seorang tokoh pendakwah terkenal di Lasem.

 Kunjungan ke pengusaha batik Lasem.
MENARIK: Kunjungan ke pengusaha batik Lasem.

Dari Lasem, kami sempat berkunjung ke Makam Sunan Bonang, makam wali yang hidup sederhana. Di makamnya tidak ada sebarang nisan. Hanya bunga-bunga yang tumbuh.

Di halaman makamnya, kami duduk merenungkan pesan-pesan Sunan Bonang. Saya teringat Tombo Ati, pesan Sunan Bonang yang sering dinyanyikan itu. Ubat Hati adalah lima perkara, katanya.

Ada lima perkara yang perlu kita buat untuk mengubat hati kita, kata Sunan Bonang. Pertama, kita hendaklah membaca al-Quran dan memahami maknanya.

Kedua ialah melakukan shalat malam. Solat malam setelah bangun tidur itu terasa lebih khusyuk lagi. Kita dapat melakukan ibadah dengan tenang dan kita dapat menyampaikan doa dan permohonan kepada Allah dengan lebih baik.

Ubat hati yang ketiga ialah ialah selalu berkumpul dengan orang saleh. Kaping telu soleh kumpulana. Ubat hati yang keempat kata Sunan Bonang ialah melakukan puasa. Kita diperintah untuk melaksanakan puasa, yang wajib atau pun yang sunat kerana melalui puasa kita dapat mengendalikan hawa nafsu, nafsu amarah, nafsu lawamah dan sebagainya.

Ubat hati yang kelima ialah dzikir malam yang lama, kaping lima dzikir wengi ingkang suwi. Zikir yang diucapkan lama dan dihayati dengan hati, membuka hati kita yang tertutup dari cahaya Ilahi.

Itulah lima perkara yang jika dilakukan mampu mengubat hati kita, yang mungkin penuh berpenyakit dan penuh polusi. Lima perkara yang dinasihatkan kepada kita untuk mengubat penyakit hati yang mungkin sedang bimbang, risau dan galau.

Suasana agak sunyi ketika kami berkunjung ke makam Sunan Bonang. Kami hanya ditemani jurukunci. Saya sempat solat di masjid tua yang kini diperbesarkan dan mampu menampung ribuan jemaah.

 Halaman luas di kawasan makam Sunan Bonang.
LUAS: Halaman luas di kawasan makam Sunan Bonang.

Ziarah  ke Makam Sunan Bonang, makam RA Kartini, makam Mbah Sambu Sayyid Abdurrohman,  melihat usahawan akar kayu jati, menyaksikan  proses membuat batik Lasem, bahkan sempat ke tepi laut, dan minum di restoran di tengah sawah dan sebagainya, menjadikan kunjungan ke Rembang sesuatu yang tidak dapat dilupakan dan sentiasa tercatat dalam ingatan.

  • oleh
  • Advertisement