Anda di sini

Lelaki dipenjara sehari, denda RM10,000 kerana rasuah

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiringi pegawai SPRM selesai prosiding di Mahkamah Khas Rasuah, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berusia 58 tahun dipenjara satu hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini kerana melakukan kesalahan memberi rasuah, 19 Jun lalu. 

Hakim Nixon Kennedy Kumbong mengarahkan hukuman penjara dijalankan hari ini dan memerintahkan agar tertuduh, Awang Zaidi Awang Seriee, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. 

Tertuduh yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan terhadapnya, dilaporkan membayar denda tersebut. 

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa telah memberikan wang tunai berjumlah RM500 kepada pihak berkuasa sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta imigresen.

Tertuduh dikatakan menjadikan premis miliknya sebagai tempat transit keluar dan masuk warga Indonesia. 

Wang berjumlah RM500 antara yang dirampas oleh pihak berkuasa dan seterusnya dijadikan bahan kes. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SPRM, Miller Jawoi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Advertisement