Anda di sini

Kerajaan Negeri serah 240 geran tanah libatkan 36 perkampungan

Advertisement
 Shafie menyerahkan geran tanah kepada salah seorang pemohon yang menanti geran mereka sekian lama.
TAHNIAH: Shafie menyerahkan geran tanah kepada salah seorang pemohon yang menanti geran mereka sekian lama.

KINABATANGAN: Kerajaan Negeri menyerahkan 240 geran tanah seluas 478.499 hektar melibatkan 36 perkampungan di daerah Kinabatangan.

Geran tanah hasil Program Pengukuran Tanah Penduduk Anak Negeri (PANTAS) melihatkan dua kategori iaitu Program PANTAS Sepanjang Jalan Sandakan-Lahad Datu melibatkan Kampung (Kg.) Sentosa, Kg. Perpaduan dan Kg. Batu Putih dengan bilangan 36 geran tanah seluas 123.620 hektar.

Program PANTAS Kawasan Bukit Garam melibatkan Kg. Sinar Jaya, Kg. Nusa Jaya, Kg. Usaha Jaya, Kg. Sri Manis, Kg. Buang Sayang, Kg. Berjaya 1 dan Kg. Berjaya 2 dengan 63 geran tanah seluas 135.856 hektar.

Manakala geran tanah hasil kelulusan permohonan tanah biasa membabitkan Sungai Balat, Kg. Bilit, Kg. Sukau, Sungai Bogologos, Bukit Garam, Sungai Kretam Besar, Kampung Litang, Koyah dan 18 kampung lagi melibatkan 141 geran tanah seluas 219.023 hektar.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebanyak 240 geran telah disampaikan semalam diantara lebih 10,000 geran tanah yang disediakan kerajaan sejak tahun 2019 yang perlu disampaikan kepada rakyat.

"Hari ini, 240 geran di Kinabatangan kita serahkan kepada rakyat yang telah memohon di Daerah Kinabatangan," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag.

Dalam pada itu, Shafie berkata sembilan buah kampung yang terletak dalam kawasan hutan simpan telah dikeluarkan daripada status hutan simpan dan diiktiraf sebagai penempatan rakyat.

"Bermakna kebimbangan rakyat telah kita atasi dan telah kita lakukan sejak tahun 2019," katanya

Beliau menjelaskan ini selaras dengan hasrat dan tujuan supaya kehendak rakyat di negeri ini dapat diselaraskan dengan sebaik mungkin.

"Penantian 30 tahun lebih penduduk daripada sembilan perkampungan itu telah direalisasikan oleh pihak kerajaan WARISAN. Kawasan itu telah digazet oleh kerajaan sebelum ini dan alhamdulilah hari ini, isu sembilan buah perkampungan itu telah terkeluar daripada status kawasan hutan simpan," katanya.  

Shafie turut berkata, bukan hanya pemberian tanah yang hendak diatasi supaya rakyat mempunyai hak pemilikkan tanah tetapi dicampurkan sekali dengan sistem pembangunan.

"Dibawah Kementerian Pertanian yang mempunyai 'blueprint' kita tunjuk ajar dan kita bagi benih buah-buahan, mereka boleh ditanam supaya penduduk kampung akan dapat manfaatkan tanah-tanah diperolehi," katanya.

Dalam minggu depan, beliau berkata tol-tol tanah-tanah di pesisiran pantai dari Tawau ke Semporna, Kunak, Lahad Datu hingga Kuala Penyu dapat dibangunkan dan dimajukan kepada belia-belia berasal dari kampung masing-masing untuk pelaksanaan ternakan ikan.

"Ini adalah satu gabungan usaha kerajaan negeri bagi membolehkan ‘food security’ (keselamatan makanan) dapat kita bangunkan sebaik mungkin di negeri Sabah," katanya.

Shafie berkata, ini antara perkara yang perlu direalisasikan, walaupun ada pihak tertentu mempertikaikan apa yang telah dibuat.

"Mungkin mereka tidak tahu dan tidak nampak, hari ini kita tunjukkan pada mereka, kerajaan negeri telah melakukan perkara itu sejak 2019," katanya.

  • oleh
  • Advertisement