Anda di sini

Pirlo ambil alih tugas Sarri

Advertisement
ANDREA PIRLO
ANDREA PIRLO

MILAN: Bekas bintang Juventus dan skuad kebangsaan Itali, Andrea Pirlo, dilantik sebagai jurulatih baharu Juventus, beberapa jam selepas pemecatan Maurizio Sarri dengan kelab menjanjikan satu “babak baharu dalam dunia bola sepak”.

Sarri, 61, meninggalkan Juventus selepas hanya satu musim, sehari selepas Juventus tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara apabila tewas di pusingan kedua kepada kelab dari Perancis, Lyon.

Pirlo, 41, dengan tanpa pengalaman kejurulatihan di peringkat tertinggi, baru-baru ini mengisi jawatan sebagai jurulatih skuad Bawah 23 tahun Juventus dan menggantikan tempat Sarri dengan kontrak dua tahun.

“Pemilihan berdasarkan kepada kepercayaan bahawa Pirlo memiliki apa yang diperlukan untuk membimbing dari penampilan pertama di tepi padang (sebagai jurulatih), seorang pakar dan dengan skuad berbakat untuk memburu kejayaan baharu,” kata Juventus.

“Hari ini, bermula satu babak baharu kerjaya beliau dalam dunia bola sepak: dari pemain hebat kepada jurulatih.”

Sarri mengambil alih tugas di Juventus dengan kontrak tiga tahun pada musim panas tahun lepas, setelah membimbing Chelsea memenangi Liga Europa tetapi gagal memberikan janji permainan menarik dalam padang.

Pelantikan segera Pirlo, sehari selepas Juventus tersingkir dari Liga Juara-Juara, adalah satu lagi pilihan berani dari presiden  kelab, Andrea Agnelli.

Bekas pemain lain yang beralih kerjaya sebagai jurulatih seperti Zinedine Zidane, Frank Lampard dan Gennaro Gattuso tetapi Pirlo melakukannya tanpa sebarang pengalaman.

Namun bekas pemain tengah kelab itu mengenali Juventus dan pemainnya selepas satu tempoh empat tahun cemerlang dari 2011 hingga 2015.

“Pirlo mempunyai kerjaya yang hebat sebagai pemain. Sepanjang empat tahun beliau di Juventus, beliau memenangi banyak kejuaraan liga, satu kejuaraan Piala Itali dan dua Piala Super Itali,” kata Juventus.

Beliau juga memenangi dua trofi Liga Juara-Juara bersama dan dua kejuaraan Serie A bersama AC Milan.

Sarri menerima padah kerana kegagalan Juventus meneruskan kemaraan dalam Liga Juara-Juara, satu kejohanan mereka menangi hanya dua kali dengan kejuaraan terakhir ialah pada 1996.

Juventus juga tewas di final Piala Itali dan juga Piala Super Itali musim ini dan menamatkan musim Serie A dengan hanya kelebihan satu mata berbanding Inter Milan untuk memenangi kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut.

“Liga Juara-Juara, ia adalah satu impian sebelum ini, sekarang ia adalah sasaran dan tersingkir seperti ini mengecewakan kami, bagi pemain dan juga penyokong,” kata Agnelli.

“Kami memerlukan analisis yang berani dan jelas, menyedari bahawa dalam beberapa minggu kami akan bermula dari sifar dan kami harus melakukannya dengan keazaman dan semangat yang sama untuk menang.”

Pirlo memulakan kerjaya sebagai pemain di kelab bandar kelahirannya, Brescia pada 1995 dan kemudian bermain bersama Inter, AC Milan dan Juventus sebelum pada 2015 berpindah ke New York City FC dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat selama dua musim.

Beraksi sebanyak 116 kali bersama Itali, beliau adalah pemain penting yang membantu Itali muncul juara Piala Dunia 2006.

Sejak bersara sebagai pemain pada 2017, Pirlo kurang mendapat perhatian dalam dunia bola sepak dan beliau lebih banyak bekerja sebagai pengulas bola sepak.

Tetapi kekurangan kesungguhan dan kadang-kadang mudah mengalah menjadikan beliau cukup popular dalam dunia internet dengan slogan ‘Pirlo tidak tertarik’.

Di Juventus, Pirlo sekarang membimbing beberapa bekas rakan sepasukannya seperti penjaga gol Gianluigi Buffon, yang berusia 42 tahun. — AFP

Advertisement