Anda di sini

Komposisi anggota majlis khas MA63 sedang dimuktamadkan

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses akhir memuktamadkan komposisi anggota Majlis Khas Untuk Menyemak Perjanjian Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib berkata perkara itu akan dikemukakan ke jemaah menteri dalam masa terdekat.

"Majlis khas ini merupakan forum khusus yang diwujudkan bagi membincangkan serta memantau keseluruhan pelaksanaan MA63 bersama-sama dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) berhubung usaha kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneruskan perbincangan untuk mendapatkan penyelesaian komersial dalam tuntutan hak minyak dan gas Sarawak.

Selain itu, beliau berkata satu jawatankuasa bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak telah ditubuhkan bagi membincangkan isu berkaitan minyak dan gas serta pemberian khas.

"Perdana Menteri sudah memberi mandat kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kanan (Kerja Raya) bagi membincangkan isu itu bersama kerajaan Sarawak dan Petronas bagi mencapai penyelesaian secara komersial.

"Berdasarkan makluman yang diterima, perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah akan menyusul selepas ini," katanya.

Berhubung status semasa pelaksanaan 17 daripada 21 perkara yang dibentang dalam Jawatankuasa Khas Kabinet MA63, Hanifah Hajar berkata agensi bertanggungjawab memerlukan tempoh antara satu hingga dua tahun untuk melaksanakan keputusan itu.

Beliau berkata baki empat lagi perkara yang belum selesai termasuk isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak yang akan terus dibincangkan dalam majlis khas yang akan ditubuhkan kelak.

Menurutnya, majlis khas itu akan dipengerusikan Perdana Menteri dan turut dianggotai Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, menteri Kabinet yang dilantik serta wakil kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Mengenai penubuhan Jawatankuasa Parlimen untuk memantau pelaksanaan MA63, Hanifah Hajar berkata kerajaan berpandangan penubuhan majlis khas itu sudah memadai buat masa ini. - Bernama 

Advertisement