Anda di sini

Jangan jual undi demi kemajuan Pulau Sebatik 

Advertisement
 Ma'mun ketika memberikan ucapan di hadapan penyokong dan akar umbi Warisan Pulau Sebatik.
UCAPAN : Ma'mun ketika memberikan ucapan di hadapan penyokong dan akar umbi Warisan Pulau Sebatik.

TAWAU : Penduduk kampung di Pulau Sebatik dinasihatkan supaya jangan ada yang sanggup menjual undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma'mun Sulaiman berkata sekiranya Pulau Sebatik mahu dimajukan pilihlah wakil rakyat yang betul-betul menjalankan tugas dengan baik dan perjuangkan hak rakyat.

"Jangan gadaikan maruah kerana wang ringgit sehingga menyebabkan orang-orang yang hanya mementingkan diri sendiri dan tiada pendirian menjadi wakil rakyat di pulau ini.

"Kita sudah mempunyai pengalaman sebelum ini, walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik sebelum mengkhianati parti mempunyai jawatan dalam kementerian tetapi dia tidak berupaya membangunkan tempat ini," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mengadakan perjumpaan bersama akar umbi Parti Warisan Sabah Sebatik, di Dewan Kampung Mentadak Baru, di sini semalam.

Mengulas lanjut, sudah tiba masanya kita bersama-sama memperjuangkan kemajuan kampung ini, pemimpin yang tidak boleh menjalankan kerja dengan telus dan baik perlu ditukar.

"Saya yakin, calon parti Warisan boleh menang besar pada PRN kali ini kerana Pilihan Raya Umum ke-14 lalu kita hanya kalah sedikit sahaja, tunjukkan kepada parti lawan kuasa di tangan rakyat.

"Jangan sia-siakan peluang yang diberikan PRN akan datang, sebab itu Presiden Parti Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bertindak bubarkan Dewan Undangan Negeri, supaya mandat kerajaan diberi balik kepada rakyat," katanya.

Ma'mun berkata, selama dua tahun kita memerintah di Sabah banyak pembangunan dan hak rakyat yang kita sudah berikan berbanding dengan kerajaan lalu.

"Di Pulau Sebatik sahaja, sudah banyak projek yang dilaksanakan termasuklah jeti di Sungai Limau dan jalan-jalan raya tetapi saya tidak war-warkan, kerana yang penting rakyat sudah menikmati kemudahan itu," katanya.

Menurutnya, Ketua Menteri Sabah sekarang ini dilihat mempunyai hala tuju, dia benar-benar mahu bangunkan dan memajukan negeri kita sebab itu banyak perjuangannya berpaksikan kepentingan rakyat.

"Saya yakin dan percaya, sekiranya rakyat Sabah masih memberikan kepercayaan kepada parti Warisan menerajui kepimpinan negeri, sudah pasti lebih banyak lagi pembangunan dan hak rakyat yang akan dinikmati oleh rakyat," katanya.

Turut hadir, ADUN Merotai Sarifuddin Hatta, Ketua Daerah Tawau Akhmad Monggoh dan Ketua Anak Negeri Sebatik Mohd Ikit.

  • oleh
  • Advertisement