Anda di sini

Hadapi kemarau, jerebu

Advertisement
KEMARAU: Imej satelit daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 8 Ogos menunjukkan titik-titik panas dikesan berada di Sarawak dan Kalimantan. 

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri kini berada dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan musim kemarau dan jerebu di sini.

Ketua Zonnya Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata dengan keadaan cuaca sekarang agak panas, pihaknya mulai memantau titik-titik panas melalui imej satelit daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Dari titik panas ini kita akan pantau dan cari lokasi bagi memastikan ia hanya titik panas terkawal.

“Terkawal bermaksud hasil daripada kerja-kerja pembakaran terbuka oleh petani manakala tidak terkawal bermaksud kebakaran dah merebak di bawah kawalan penduduk.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dan pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini semalam.

Ditanya mengenai keperluan logistik pasukannya, beliau berkata sekiranya berlaku kebakaran hutan, JBPM Zon 6 Miri masih mempunyai keperluan logistik mencukupi.

“Jika musim kering, keseluruhan negeri perlu berjaga-jaga kerana boleh berlaku di mana-mana sahaja lebih-lebih lagi jika kawasan terbakar terlalu luas dan tiupan angin menyebabkan ia merebak terlalu cepat,” ujarnya.

Sementara itu, bagi menghadapi cuaca panas ini, Law menasihati petani sekiranya melakukan pembakaran terbuka hendaklah dikurangkan dalam keluasan kecil dan perlu dikawal serta tidak dibiarkan membakar secara sendiri.

“Musim kering memang sesuai untuk mulai bercucuk tanam terutama menanam padi, petani mulai membuka ladang baharu dan membuat pembakaran terbuka.

“Kalau perlu buat pembakaran terbuka mesti dikawal supaya tidak tersebar luas dan tidak merebak ke kawasan lain.

“Selain itu, buat pembakaran terbuka terancang iaitu dalam satu kampung jangan bakar sekali kawasan berkenaan, bakarlah secara bertompok-tompok mengikut hari,” katanya.

Dalam pada itu, kira-kira tiga ekar kawasan belukar di South Lake Permyjaya di sini terbakar dalam kejadian pagi semalam.

Law berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi tersebut selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.47 pagi.

“Api berjaya dikawal kira-kira jam 1.13 petang dan operasi memadam kebakaran belukar itu tamat jam 1.48 petang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement