Anda di sini

Barca berjaya singkir Napoli dengan kemenangan 3-1

Advertisement
 Messi (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan Barcelona menentang Napoli di stadium Camp Nou di Barcelona kelmarin. — Gambar AFP
GOL KEMENANGAN: Messi (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan Barcelona menentang Napoli di stadium Camp Nou di Barcelona kelmarin. — Gambar AFP

BARCELONA: Lionel Messi menjaringkan satu gol solo cantik ketika Barcelona menyingkirkan Napoli pada Sabtu tetapi mereka dijangka memerlukan lebih banyak lagi keajaiban dari kapten pasukan untuk menewaskan Bayern Munich di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Messi melakukan larian cantik dan melakukan penyudah di antara gol awal Clement Lenglet dan penalti Luis Suarez ketika Barca mendahului awal 3-0 pada separuh masa pertama perlawanan kedua pusingan kedua kejohanan di Nou Camp.

Tetapi Lorenzo Insigne merapatkan kedudukan buat Napoli sebelum rehat dan aksi hambar Barcelona dalam separuh masa kedua memastikan mereka hanya menang 3-1 untuk kemenangan agregat 4-2.

“Gol kedua akan memberikan mereka (Napoli) keyakinan lebih tinggi yang boleh menjejaskan anda,” kata jurulatih Barca, Quique Setien.

“Ia biasa untuk berasa sedikit cemas.”

Ketika memenangi penalti, Messi menerima asakan keras dari pemain Napoli, Kalidou Koulibaly dan memerlukan rawatan.

“Ia terjahan keras,” kata Setien. “Ia perlu dirawat tetapi saya tidak fikir ia satu masalah besar.”

Selepas menamatkan saingan La Liga Sepanyol dengan ketinggalan lima mata di belakang juara Real Madrid, Barca menyambung semula saingan dalam Liga Juara-Juara dengan keraguan tentang prestasi pasukan dan juga masa depan jurulatihnya.

Setien berkata pada Jumaat bahawa beliau tidak pernah menimbangkan untuk meletak jawatan tetapi kegagalan di Eropah selepas musim hambar akan menyukarkan harapan beliau untuk  terus menggalas tugas pada musim hadapan.

Kemenangan ke atas Napoli kelihatan mengurangkan tekanan itu tetapi prestasi pasukan tidak memberikan galakkan, walaupun dengan Messi yang kelihatan bersemangat selepas rehat tiga minggu.

Napoli, dengan Serie A Itali baharu berakhir minggu lepas, seharusnya mempunyai kelebihan dari segi rentak permainan tetapi permulaan buruk menyebabkan mereka mengharungi satu misi mustahil.

Koulibaly, yang dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab elit di Eropah pada musim panas ini, antara pemain yang paling mengecewakan.

Namun Barcelona pastinya perlu meningkat lebih bagus lagi untuk menyamai prestasi Bayern, yang menewaskan Chelsea di pusingan kedua dan dianggap antara pilihan utama untuk muncul juara.

“Ia pastinya sangat sukar,” akui Setien menjelang perlawanan suku akhir pada Jumaat depan.

Messi sekarang sudah menjaringkan empat gol dari tiga perlawanan terakhir dan dengan hanya satu perlawanan kalah singkir di Lisbon, beliau berupaya melakukan segala-galanya.

Tetapi Bayern memiliki pemain hebat mereka sendiri iaitu Robert Lewandowski dan juga pasukan yang lebih lengkap yang menjadikan mereka pasukan pilihan utama untuk ke separuh akhir.

Napoli bermula dengan memberangsangkan apabila satu cubaan Dries Mertens terkena palang tetapi rentak memihak kepada Barca apabila Lenglet membuka jaringan dari satu tendangan sudut Ivan Rakitic seawal minit kesembilan.

Messi menjadikan kedudukan 2-0 dengan satu larian solo deras, melepasi tiga pemain Napoli sebelum merembat ke pintu gol.

Beliau memikirkan beliau berpeluang melakukan satu lagi jaringan dari satu umpanan Frenkie de Jong  tetapi bola terkena lengan ketika cuba mengawal permainan, menyebabkan pengadil memberikan  tendangan percuma kepada Napoli.

Beliau mempunyai satu lagi peluang di hadapan pintu gol tetapi dikasari Koulibaly, menyebabkan pengadil tidak teragak-agak memberikan tendangan penalti yang disempurnakan oleh Suarez.

Napoli merapatkan kedudukan 1-3 pada minit akhir sebelum rehat untuk memberikan harapan menjelang separuh masa kedua.

Mereka memerlukan dua lagi gol untuk meneruskan kemaraan dan mengawal permainan dengan meyakinkan tetapi penyudah akhir mengecewakan dengan Barca kelihatan terpaksa bertahan sehingga ke wisel penamat. — AFP

Advertisement