Anda di sini

11 maut kebakaran di blok pangsapuri di Republik Czech

Advertisement
 Anggota bomba membawa usungan ke tempat kejadian di mana kebakaran berlaku di sebuah blok pangsapuri di kota timur Bohumin, Republik Czech kelmarin. — Gambar AFP
OPERASI MENYELAMAT: Anggota bomba membawa usungan ke tempat kejadian di mana kebakaran berlaku di sebuah blok pangsapuri di kota timur Bohumin, Republik Czech kelmarin. — Gambar AFP

PRAGUE: Tiga kanak-kanak merupakan antara 11 orang yang maut dalam kebakaran yang berlaku kelmarin di sebuah blok pangsapuri di Republik Czech yang polis percaya telah sengaja dimulakan.

Polis berkata seorang individu telah ditahan berhubung kebakaran itu yang menyaksikan lima mati selepas mereka terjun dari bangunan tersebut di kota timur Bohumin berhampiran sempadan Poland.

Ketua polis wilayah Tomas Kuzel memberitahu Televisyen Czech bahawa polis mengesyaki khianat adalah punca kebakaran dan mereka sudah menahan seorang individu dalam kes tersebut.

“Saya fikir kita sudah berjaya dari segi pesalah,” kata Kuzel tanpa menyebut secara khusus sama ada orang yang ditahan itu akan didakwa atas tuduhan sengaja memulakan kebakaran ataupun tidak.

Dia menyamakan kebakaran itu dengan satu kes pada 2013 apabila seorang lelaki menyebabkan letupan gas dan kebakaran yang mengorbankan tiga kanak-kanak dan dua lagi serta dirinya sendiri. Dia dilaporkan membenci penghuni pangsapuri lain.

“Ia adalah sama,” kata Kuzel mengenai kebakaran besar tujuh tahun lalu di bandar Frenstat, timur Czech.

“Pesalah di sana juga pada asasnya memusnahkan sebuah blok flat dan mengorbankan ramai orang.”

Lukas Popp, seorang jurucakap bagi anggota bomba tempatan, memberitahu AFP bahawa kebakaran itu berlaku di tingkat ke-11 blok flat konkrit di Bohumin dekat sempadan Czech-Poland, kira-kira 300 kilometer ke timur ibu negara Prague.

“Enam maut di tingkat ini, termasuk tiga kanak-kanak dan tiga dewasa dan seekor anjing,” tambahnya.

“Anggota bomba kita berada di lokasi dengan cepat sekali tetapi sewaktu kejadian, lima terjun dari tingkap tingkat ke-12 dan maut,” kata Popp.

Ketua skuad bomba wilayah Vladimir Vlcek memberitahu Televisyen Czech, dia tidak mahu membuat spekulasi tentang punca kebakaran buat masa sekarang.

“Tetapi kebakaran itu berkembang dengan cepat sekali, sesuatu yang tidak normal. Kebakaran seperti itu biasanya menjejaskan satu bilik, tetapi kebakaran ini memusnahkan seluruh flat, semua bilik terbakar,” katanya.

Vlcek menambah ia tidak jelas kenapa lima orang tersebut terjun dari tingkap sedangkan flat mereka belum lagi mengalami kebakaran.

“Apa yang kita perlukan hanyalah puluhan saat untuk mengembung kusyen lompat dan impak tidak mungkin begitu tragis,” katanya.

Gabenor wilayah Ivo Vondrak berkata selain mangsa, seramai 13 cedera dalam kebakaran itu, termasuk dua anggota bomba dan seorang anggota polis.

“Penggera kebakaran dibunyikan pada 17:49 (1549 GMT) dan anggota bomba berada di lokasi pada 17:54,” tambah Vondrak.

Menteri Dalam Negeri Czech Jan Hamacek menyifatkan kebakaran itu sebagai “satu tragedi amat besar” dalam satu ciapan.

“Ucapan takziah saya yang paling mendalam kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang,” katanya. — AFP

Advertisement