Anda di sini

0.8 peratus getah digunakan bagi CMB untuk penurapan jalan raya pada 2019

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 0.8 peratus daripada jumlah semasa pengeluaran getah negara digunakan dalam penurapan jalan menggunakan teknologi berasaskan getah -- Bitumen Sekerap Terubahsuai (CMB) -- pada 2019.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata secara anggarannya sebanyak 400 hingga 500 tan getah digunakan bagi penurapan jalan raya menggunakan teknologi CMB dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

“Walaupun peratusan itu kecil, penggunaan getah CMB untuk penurapan jalan sepanjang 202.7 kilometer itu adalah sangat bermanfaat untuk agensi terlibat, seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), membuat pernilaian dan kajian pengkomersialan dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM),” katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai peratusan penggunaan getah berbanding jumlah pengeluaran getah negara bagi tujuan penurapan jalan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Wee berkata kerajaan melalui kerjasama Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) meliputi Thailand, Indonesia dan Malaysia turut menetapkan negara anggota disaran membina jalan berasaskan getah.

Ia sebagai antara strategi untuk meningkatkan penggunaan getah asli dalam negara masing-masing bagi menstabilkan harga getah, katanya.

“Kementerian dan agensi berkaitan juga sentiasa menjalankan pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan getah negara serta penggunaan teknologi CMB ini akan membantu menstabilkan harga getah,” katanya.

Kementerian ini dan LGM turut mengadakan sesi libat urus dari semasa ke semasa dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar untuk tujuan pembinaan atau penurapan jalan raya CMB, katanya.

Beliau juga berkata pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang merancang untuk melaksanakan pembinaan jalan raya CMB bagi jalan hubungan desa dan jalan luar bandar. - Bernama 

Advertisement