Anda di sini

Tujuh pendaki sesat di Gunung Santubong diselamatkan

Advertisement
Gunung Santubong
Gunung Santubong

KUCHING: Tujuh individu berjaya diselamatkan selepas tersesat di hutan ketika mendaki Gunung Santubong pada Sabtu. 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 6.40 petang sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya ke lokasi. 

"Setibanya di lokasi Komander Operasi melaporkan terdapat tujuh mangsa, lima wanita dan dua lelaki telah tersasar dari laluan dan sesat di kawasan hutan setelah membuat aktiviti pendakian di Gunung Santubung," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Peta sekitar Gunung Santubong

Jelasnya, bomba telah memasuki kawasan tersebut namun tidak menemui mangsa yang hilang. 

Tambah JBPM Sarawak, setelah itu bomba menerima maklumat daripada petugas Permai Rainforest Resort, yang memberi tindakan awal sejurus menerima laporan kehilangan, memaklumkan mereka berjaya menemui kesemua mangsa di Teluk Belian pada jam 7.50 malam apabila dihubungi mangsa di lokasi.

"Petugas Permai Rainforest Resort membawa kesemua mangsa keluar dari Teluk Belian ke Teluk Sari sebelum menuju ke Kem Permai semula," katanya. 

Dalam usaha mengeluarkan kesemua mangsa, katanya, bomba turut menurunkan bot penyelamat untuk ke Teluk Sari bagi mengambil kesemua mangsa namun, terdapat kekangan disebabkan air surut. 

Namun, tegasnya, bomba sentiasa berhubung dengan mereka yang dalam keadaan terkawal dan selamat. 

"Kesemua mereka keluar melalui hutan dan pantai untuk kembali ke Permai Rainforest Resort dengan selamat pada jam 12.35 tengah malam," ujarnya. 

Menurutnya lagi, kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan salah seorang mangsa mengalami kepenatan. 

Operasi ditamatkan pada jam 12.40 tengah malam. 

  • oleh
  • Advertisement