Anda di sini

Suami isteri maut motosikal bertembung MPV 

Advertisement
Keadaan motosikal dan MPV terbabit selepas kemalangan berdekatan simpang Pusat Hidupan Liar Matang Kampung Rayu, petang semalam.

KUCHING: Sepasang suami isteri maut apabila motosikal yang dinaiki dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berhampiran simpang Pusat Hidupan Liar Matang Kampung Rayu, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, pasangan terbabit, Majang Balang, 50, dan Rosemary Sadan, 46, beralamat di Kampung Sungai Belian, Lundu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jelasnya, kemalangan berlaku sekitar jam 4.19 petang apabila MPV yang dipandu seorang pelajar perempuan sebuah universiti tempatan datang dari arah Lundu menuju ke Kuching.

"Sampai di lokasi kejadian sebelum simpang jalan Pusat Hidupan Liar Matang Kampung Rayu, pemandu MPV telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya lalu bertembung dengan penunggang dan pembonceng motosikal yang datang dari arah Kuching," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Alexson, akibat perlanggaran itu penunggang dan pembonceng meninggal di tempat kemalangan.

Kata beliau lagi, manakala pemandu MPV terbabit cedera parah di kepala dan badan. 

Pada masa sama beliau memberitahu, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Lundu untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement