Anda di sini

Sektor perhotelan di Sarawak berdepan cabaran hebat untuk kekal berdaya saing

Advertisement
 

KUCHING: Pelbagai bantuan daripada kerajaan termasuk Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang dilihat membantu memastikan sektor perhotelan di negeri ini terus bertahan namun tidak memadai untuk kekal berdaya saing.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Sarawak Mohamad Ibrahim Nordin (gambar) berkata pengusaha hotel berdaftar menerima bantuan RM1,200 di bawah Pakej Prihatin dan Pakej Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) RM600 bagi tempoh tiga bulan bagi mengurangkan impak ekonomi ekoran pandemik COVID-19.

Selain itu katanya, Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang diumumkan kerajaan negeri yang turut menyenaraikan pengecualian lesen tempatan dan sewa serta penilian termasuk diskaun bil utiliti sebanyak 15 peratus juga satu kelegaan kepada industri berkenaan.

"Sektor perhotelan di Sarawak tidak terkecuali menerima impak yang hebat ekoran tempoh sangat mencabar dihadapi industri pelancongan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Memang kita ada menerima bantuan menerusi pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memastikan sektor perhotelan terus bertahan tetapi tidak mencukupi bagi kekal berdaya saing," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai perkembangan industri perhotelan sejak PKPP diperkenalkan mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Ogos ini. 

Mohamad Ibrahim berkata sektor pelancongan sangat mencabar sejak PKPP diperkenalkan malah banyak hotel mengambil keputusan menutup sementara operasi masing-masing sejak 1 Mac 2020 ketika PKP mula diperkenalkan bagi mengekang penularan COVID-19 di seluruh negara.

"Beberapa hotel memilih mengecilkan saiz operasi dan ada yang terpaksa memberhentikan atau memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja bagi mengurangkan kos operasi.

"Semasa PKPP, hotel yang ditutup sementara tidak merekodkan sifar penginapan namun hotel-hotel yang diwartakan sebagai Pusat Kuarantin COVID-19 beroperasi pada kadar penginapan penuh," ujarnya.

Beliau menambah, sejak Julai tahun ini, rata-rata hotel beroperasi dengan merekodkan penginapan hanya satu angka dan mencatatkan sedikit peningkatan bagaimanapun jumlah itu menurun semula bermula 1 Ogos 2020.

Manakala ujarnya hotel peranginan mencatatkan jumlah penginapan yang tinggi hanya pada hujung minggu.

  • oleh
  • Advertisement