Anda di sini

Lapan kenderaan diarah berpatah balik tiada surat kebenaran rentas zon

Advertisement
 

KUCHING: Sebanyak 1,439 jumlah kenderaan telah melalui sekatan jalan raya antara zon satu dan zon dua yang diadakan di dua lokasi iaitu di Daerah Simunjan dan Sri Aman hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) daripada jumlah tersebut, 1,431 daripadanya telah mendapat kebenaran.

“Manakala lapan telah diarah berpatah balik kerana tidak memiliki surat kebenaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Had pergerakan perjalanan bermula 1 hingga 14 Ogos itu melibatkan zon satu (zon merah/kuning) iaitu bahagian Kuching, Serian dan Samarahan, sementara zon dua (zon hijau) merangkumi bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Berkenaan notis kompaun dan tangkapan, JPBNS berkata polis telah mengeluarkan sebanyak 13 notis kompaun kerana tidak mematuhi prosedur pengendalian standard.

Katanya, notis kompaun yang telah dikeluarkan adalah di Kuching (7), Kota Samarahan (2), Miri (1), Betong (1), Sarikei (1) dan Limbang (1).

Sementara itu, pihak polis akan terus memperketatkan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKK) bermula dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2020 termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam. 

Hari ini katanya, sebanyak 1,670 premis telah dipantau meliputi pasar raya, restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan, penjaja, pasar tani/awam, tempat ibadah, tempat riadah, tapak pembinaan dan lain-lain. 

"Seramai 651 anggota pematuhan PKPP terdiri dari polis, tentera, RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM), pihak berkuasa tempatan, petugas kesihatan dan lain-lain agensi menjalankan pemantauan ini," ujar JPBNS.

Selain itu, hari ini juga terdapat enam sekatan jalan raya di lima buah daerah bersempena dengan Ops Benteng.

Antaranya di Lundu (dua) dan masing-masing satu sekatan jalan raya di Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu.

Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 713 kenderaan telah diperiksa. 

JPBNS dalam pada itu terus menasihatkan orang ramai supaya tidak leka dan kekal berwaspada serta mematuhi SOP yang telah digariskan oleh kerajaan. 

  • oleh
  • Advertisement