Anda di sini

Kerap dilanda banjir, SK Suba Buan dipindahkan ke lokasi baru 

Advertisement
Bangunan lama SK Suba Buan kerap dilanda banjir dan akan dipindahkan ke lokasi baru.
Bangunan lama SK Suba Buan kerap dilanda banjir dan akan dipindahkan ke lokasi baru.

KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan yang baharu dijangka bermula hujung tahun ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata tender projek dibuka pada 21 Julai lepas dan akan ditutup pada 17 Ogos ini.

“SK Suba Buan yang baharu ini dibina untuk memindahkan sekolah lama yang sering dilanda banjir. Lokasinya tidak jauh dari sekolah lama dan masih dalam kawasan Kampung Suba Buan. 

“Projek dijangka bermula dalam masa tiga bulan selepas tender ditutup,” katanya ketika lawatan bagi meninjau tapak baru sekolah tersebut, Sabtu lepas. 

Dalam pada itu pemindahan sekolah tersebut telah dipersetujui kerajaan pusat pada tahun 2016. 

Persetujuan dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke kampung berkenaan. 

Henry (dua depan) berjalan kaki bagi meninjau lokasi serta tapak baru untuk pembinaan SK Suba Buan di Bau, Sabtu lepas.
Henry (dua depan) berjalan kaki bagi meninjau lokasi serta tapak baru untuk pembinaan SK Suba Buan di Bau, Sabtu lepas.

Selesai lawatan ke tapak baru sekolah tersebut, Henry turut meninjau beberapa projek lain yang sedang dan bakal dilaksanakan di kampung tersebut. 

Antaranya, kerja-kerja pembinaan jalan ke tapak perkuburan serta kemudahan letak kereta yang dibina menggunakan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) wakil rakyat. 

Henry turut meninjau keadaan jambatan besi di kampung tersebut yang mana dicadangkan untuk ditukar kepada jambatan konkrit. 

Pada lawatan tersebut Henry turut mengambil kesempatan untuk meninjau aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kaum wanita di kampung tersebut serta beramah mesra dengan penduduk. 

  • oleh
  • Advertisement