Anda di sini

COVID-19: Sarawak rekod satu kes import, lapan kes pulih

Advertisement
Infografik JPBNS
Infografik JPBNS

KUCHING: Satu kes baharu COVID-19 dilaporkan di daerah Kuching hari ini membabitkan kes import pelajar lelaki tempatan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri setakat ini sebanyak 681 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan, berkata pelajar terbabit balik dari Cairo, Mesir ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Ogos 2020 dengan menaiki pesawat syarikat penerbangan Egypt Air. 

Katanya, kes singgah di KLIA sebelum balik ke Sarawak pada 2 Ogos 2020 dan terus dihantar ke pusat kuarantin hotel bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari. 

“Kes juga adalah merupakan kontak rapat dan rakan sepengajian di Dar Al-Mustafa, Yaman kepada kes ke-679 yang  disahkan positif COVID-19 pada 7 Ogos lalu. Kes ini  tidak menunjukkan tanda dan gejala," kata JPBNS hari ini.

JPBNS berkata kes telah menjalani saringan COVID-19 menggunakan RTK Antigen pada 2 Ogos 2020 di KL dan keputusan ujian RTK Antigen kes adalah negatif.

Semasa menjalani kuarantin di pusat kuarantin hotel di sini (Kuching), kes diambil swab untuk ujian rT-PCR bagi saringan pertama pada 3 Ogos 2020 dan keputusan ujian makmal  pada 6 Ogos 2020 juga mendapati kes adalah negatif untuk COVID-19.

"Bagaimanapun, pada 8 Ogos 2020 kes telah menjalani saringan kedua rT-PCR COVID-19 pada hari kesepuluh dan ujian makmal oleh Makmal Hospital Umum Sarawak mendapati kes adalah positif COVID-19 dan kes dimasukkan ke wad pada hari yang sama. 

“Pengesanan kontak dan siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini dikategorikan sebagai kes import dari luar negara,” katanya lagi.

Sementara itu, JPBNS memaklumkan setakat hari ini, terdapat 10 kluster masih aktif iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraaan (8 kes), Kluster Mambong (7 kes), Kluster Pusat Perubatan (3 kes), Kluster Jupiter (3 kes), Kluster Pasar Stutong (7 kes) dan Kluster Jeti Kuching (2 kes), Kluster Sentosa (31 kes), Kluster PUI Melbourne (3 kes), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (2 kes) dan Kluster Pasar Satok (4 kes). 

“Dimaklumkan juga lapan kes baru yang pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini, melibatkan tujuh orang dari Daerah Kuching dan seorang dari Daerah Lundu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 652 orang atau 95.74 peratus dengan seramai 10 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital manakala  jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.79 peratus," katanya.

JPBNS berkata, pada hari ini juga sebanyak enam kes orang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan satu kes yang menunggu ujian makmal.

Dalam pada itu, seramai 99 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk ke hotel untuk menjalani kurantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 16 buah hotel seramai 1,002 orang. 

Manakala seramai 20,557 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin.

Empat daerah iaitu Kuching, Serian, Lundu dan Samarahan masih berstatus kuning manakala lain-lain daerah berstatus hijau. 

  • oleh
  • Advertisement