Anda di sini

Anjung Pembangunan Usahawan bakal dibina di Gedong

Advertisement
Awang Tengah (berdiri) bercakap selepas sesi taklimat dijalankan. Turut kelihatan Naroden (kanan).
Awang Tengah (berdiri) bercakap selepas sesi taklimat dijalankan. Turut kelihatan Naroden (tiga kiri).

KUCHING: Anjung Pembangunan Usahawan Gedong bakal menjadi pusat keusahawanan yang dilengkapi dengan kemudahan e-perdagangan untuk para usahawan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) dalam satu kenyataan hari ini, berkata tender projek akan dikeluarkan segera agar pelaksanaan projek boleh dimulakan pada hujung tahun ini.

Projek berkenaan merupakan salah satu daripada pusat keusahawanan yang ditubuhkan MINTRED bagi mempercepatkan transformasi sosio-ekonomi serta menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negeri.

"Projek Anjung itu akan menjadi mercu tanda baru di kawasan luar bandar yang terletak kira-kira 27 kilometer dari Serian. Komponen projek merangkumi pusat latihan, pejabat pentadbiran, bengkel, pusat pemprosesan, kawasan terbuka untuk penganjuran acara awam seperti acara PKS, hostel, tempat letak kereta mencukupi, tandas dan kawasan solat.

"Ia terletak di tanah seluas 3.8 ekar berhampiran Pusat Kesihatan Gedong, serta Galeri Gedong dan Rumah Rehat Gedong yang dicadangkan," kata MINTRED. 

Menurut kenyataan lagi, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri turut diberi penerangan mengenai projek tersebut ketika mengadakan lawatan ke tapak projek pada Sabtu (8 Ogos).

Anjung Pembangunan Usahawan Gedong merupakan projek yang dimulakan dengan tujuan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan menyediakan tempat yang selesa bagi tujuan berniaga, melatih dan memproses produk tempatan dilengkapi dengan sistem e-dagang.

Pusat berkenaan memfokuskan kepada kemampuan peningkatan  para pengusaha tempatan dalam pemprosesan makanan, pembuatan, tenunan dan pengembangan produk; melatih usahawan dalam teknopreneurship; dan merangsang aktiviti ekonomi kawasan sekitarnya, tambahnya.

Awang Tengah, yang juga Menteri Kedua untuk Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, ditemani oleh Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais dan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebuudayaan, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie.

Turut hadir sama adalah Setiausaha Tetap Mintred, Datu Liaw Soon Eng;  Residen Samarahan Ibrahim Lumpu;  Pegawai Daerah Simunjan Abdul Khalid Manaf dan Penghulu masyarakat Melayu untuk Gedong, Abang Ronee Abang Sa'adeli.

Di dalam lawatan tersebut, Awang Tengah juga diberi penerangan mengenai kemajuan beberapa projek oleh Jabatan Kerja Raya, Jabatan Saliran dan Pengairan, Jabatan Tanah dan Ukur, dan Syarikat Sesco Berhad seperti jalan dan jambatan yang dicadangkan  untuk projek kampung Gedong, kerja penambahbaikan sungai, pusat belia dan sukan, Rumah Rehat Gedong, dan Dana Pemohon Tambahan atau Akhir (ALAF).
 

Advertisement