Anda di sini

Amerika Latin catat kematian tertinggi akibat COVID-19

Advertisement
 Seorang pekerja menyah cemar sepanduk di kaunter yang menyediakan saringan untuk mengesan COVID-19 di Kota Mexico kelmarin.  — Gambar AFP
LANGKAH PENCEGAHAN: Seorang pekerja menyah cemar sepanduk di kaunter yang menyediakan saringan untuk mengesan COVID-19 di Kota Mexico kelmarin. — Gambar AFP

MONTEVIDEO: Amerika Latin dan rantau Caribbean mengatasi Eropah kelmarin untuk menjadi rantau yang paling teruk terjejas kerana kematian koronavirus, manakala India melepasi dua juta jangkitan.

Rantau paling teruk terjejas di dunia melaporkan 213,120 kematian, 460 lebih banyak berbanding Eropah, menurut satu kiraan AFP berdasarkan data rasmi.

Di seluruh dunia terdapat lebih 19 juta kes koronavirus dan lebih 715,000 kematian disebabkan oleh penyakit itu sejak ia pertama kali dilaporkan di China pada hujung tahun lepas.

Virus itu telah menular lagi di kawasan di mana ia nampak seperti sudah dibendung dan sudah merebak perlahan-lahan di India dan Afrika.

Kes di India sudah meningkat sebanyak dua kali ganda dalam tempoh tiga minggu, dan mencecah dua juta kelmarin ekoran peningkatan harian yang memecah rekod melebihi 60,000 jangkitan baharu.

Ia merupakan negara ketiga selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil yang melepasi dua juta kes. Perangkaan rasmi menunjukkan negara dengan jumlah penduduk kedua paling banyak di dunia itu turut merekodkan 41,500 kematian.

Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi melaksanakan salah satu sekatan pergerakan yang paling ketat di dunia pada hujung Mac lalu, dan puluhan juta pekerja migran kehilangan pekerjaan hampir dalam sekelip mata.

Tetapi dengan ekonomi dalam keadaan teruk, sekatan sudah dilonggarkan secara perlahan-lahan.

Pakar berkata jumlah sebenar kes dan kematian yang dilaporkan amat kurang sekali berbanding jumlah sebenar kerana punca kematian di negara dengan 1.3 bilion penduduk itu jarang sekali direkodkan dengan baik.

Cap negatif yang dikenakan ke atas mereka yang dijangkiti penyakit itu menyebabkan ramai orang enggan menjalani saringan.

“Terdapat ketakutan kepada penyakit itu serta ketakutan kepada pengasingan dan kuarantin,” kata Rajib Kumar, selaku ketua Pusat Perubatan Sosial dan Kesihatan Komuniti di Universiti Jawaharlal Nehru, Delhi. — AFP

Advertisement