Anda di sini

Mahkamah benar Muhyiddin batal saman Dr Mahathir

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dengan membenarkan permohonan Muhyiddin dan tiga lagi defendan, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail memutuskan bahawa Dr Mahathir dan lima lagi plaintif tidak mempunyai lokus standi untuk mengemukakan tindakan undang-undang terhadap defendan.

Beliau juga memutuskan bahawa mahkamah berpandukan peruntukan undang-undang dan kes di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 mahkamah mendapati Seksyen 18C terpakai dalam kes sekarang.

“Sehubungan itu mahkamah tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar atau menentukan tuntutan plaintif,” katanya.

Seksyen 18C menyatakan bahawa sebarang keputusan parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM30,000 kepada semua defendan.

Hakim Rohani juga menolak permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah injunksi untuk mempertahankan status quo mereka sebagai ahli BERSATU sehingga pendengaran saman itu kerana mahkamah telah membatalkan keseluruhan tindakan.

Pada 9 Jun, Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Marzuki Yahya dan parti itu sendiri telah memfailkan saman berhubung pembatalan keahlian mereka dalam BERSATU, yang dinamakan sebagai plaintif pertama hingga keenam.

Mereka menamakan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Pemangku Pengerusi; Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Kerja Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menjelaskan mengenai faktor lokus standi, hakim itu berkata pada 4 Jun 2020 Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU telah mengesahkan keputusan BERSATU bahawa plaintif pertama, Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi pada 24 Februari dan berdasarkan Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU, Muhyiddin yang merupakan defendan pertama, memangku jawatan sebagai Pengerusi BERSATU.

Beliau mengatakan bahawa telah termaktub bagi setiap pertubuhan berdaftar diatur oleh perlembagaan dan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan ia juga telah termaktub bahawa perlembagaan pertubuhan yang berdaftar beroperasi sebagai kontrak antara ahli-ahlinya.

“Fasal 10.02 Perlembagaan Bersatu memperuntukkan kehilangan keahlian secara automatik oleh peristiwa tertentu yang telah ditentukan iaitu Fasal 10.2 menyatakan bahawa ‘keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila berlaku mana-mana satu berikut’ iaitu termasuk Fasal 10.2.6 menyatakan bahawa “seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah,” katanya.

Hakim Rohani juga berkata sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020, Dr Mahathir dan Mukhriz telah menulis surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), menyatakan bahawa kerusi mereka akan berada di pihak pembangkang bersama-sama dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang menentang kerajaan sekarang yang BERSATU adalah sebahagian daripadanya.

Beliau berkata pada sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei, plaintif pertama hingga kelima telah menyeberang dan duduk di blok pembangkang bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Hakim berkata mahkamah berpendapat tindakan yang dilakukan oleh kelima-lima plaintif berkenaan termasuk dalam Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU.

“Justeru, mereka tidak lagi menjadi ahli BERSATU seperti yang disimpulkan dan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti pada 4 Jun 2020.

“Sehubungan itu, mahkamah berpendapat tindakan memfailkan saman ini oleh plaintif dan peristiwa yang diambil pada 18 Mei oleh plaintif pertama hingga kelima, telah melanggar Fasal 10.2 Perlembagaan BERSATU.

“Justeru, plaintif tidak mempunyai locus standi (hak perundangan) untuk mengekalkan tindakan ini terhadap defendan,” katanya.   

Mengenai isu penamaan parti sebagai plaintif ketujuh dalam saman itu, hakim berkata berdasarkan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan, tindakan menamakan BERSATU sebagai plaintif adalah tidak sah.

Ini kerana sebuah persatuan tidak mempunyai kedudukan dan tidak kompeten untuk menyaman sebagai plaintif kerana persatuan tidak dapat menyaman di bawah namanya, kata beliau.

Pada 17 Jun, Muhyiddin, Hamzah, Muhammad Suhaimi dan Masyati (Ketua Pengarah ROS) sebagai defendan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dengan alasan saman tersebut satu tindakan yang remeh, menyalahgunakan proses mahkamah selain Dr Mahathir dan plaintif lain tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan undang-undang. — Bernama

Advertisement