Anda di sini

PRN Sabah: Lebih ramai wanita perlu ditampilkan jadi calon

Advertisement
DR PAMELA
DR PAMELA

PENAMPANG: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diharap menjadi platform praktis proses demokrasi yang menyaksikan lebih ramai wanita diketengahkan sebagai calon bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa sama, calon-calon yang bertanding juga disifatkan tidak seharusnya dinilai berdasarkan ‘skirt atau seluar’ tetapi menerusi latar belakang pencapaian individu.

Ketua Wanita Persatuan Cina Malaysia (MCA) Sabah Dr Pamela Yong percaya rakyat di negeri ini berfikiran terbuka dan menerima kehadiran pemimpin tanpa mengira jantina.

“Kita harap lebih ramai golongan wanita yang dapat ditampilkan sebagai calon bertanding (pada PRN) tanpa mengira parti politik,” katanya, di sini, semalam.

Dr Pamela berkata wanita mewakili kira-kira 50 peratus bilangan rakyat di negeri ini dan sudah tentunya mempunyai fikiran, suara dan pendapat berbeza yang sangat penting. 

Menurutnya, orang wanita mempunyai kelebihan dalam pelbagai perkara yang mungkin tidak difahami lelaki, justeru penting penyertaan golongan terbabit diberi tumpuan.

“Bukan juga mereka (pemimpin lelaki) menyekat kami (golongan wanita), tetapi kita perlukan lebih ramai wanita untuk tampil dalam politik termasuk bertanding,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyeru lebih ramai wanita supaya berani menonjolkan diri termasuk membuktikan keupayaan kepimpinan golongan itu setanding dengan lelaki.

“Jika ada wanita memikirkan keterbatasan mereka dalam arena politik akibat perlu menjaga anak atau urus rumahtanga, itu pemikiran yang perlu dikikis,” katanya.

Menjawab soalan pemberita jika dirinya turut dicalonkan pada PRN kali ini pula, beliau enggan mengulas lanjut namun berkata pemilihan calon ditentukan kepimpinan parti.

Untuk rekod, pada Dr Pamela pernah bertanding atas tiket Barisan Nasional mewakili MCA pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 untuk kerusi DUN Luyang namun tewas.

  • oleh
  • Advertisement