Anda di sini

Peladang, penternak dan nelayan hargai bantuan kerajaan - Mawan

Advertisement
 

KUCHING: Komuniti peladang, penternak dan nelayan pastinya berterima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas peruntukan yang besar dan pelbagai inisiatif untuk membantu para peladang, penternak dan nelayan di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom (gambar) berkata, Pakan khususnya telah menerima banyak bantuan dan nasihat daripada agensi yang berkaitan dengan pertanian terutamanya Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Sarawak, dan Jabatan Pertanian Sarawak dalam bentuk peruntukan dan bermacam kursus untuk meningkatkan pengetahuan dan ilmu mereka dalam bidang pertanian moden.

"Dengan adanya rangkaian jalanraya yang telah dibina, sedang dan akan dibina oleh kerajaan, lebih banyak produk pertanian daripada kawasan Pakan dapat dihantar ke Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Produk Pertanian (CPPC) yang berdekatan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mawan, setelah kerja menaiktaraf Jalan Ulu Paku/Ulu Gerenjang/Ulu Krian/Ulu Budu/Pakan nanti, Pakan juga akan mendapat ekses yang penting kepada STOLPORT Bebuling di Spaoh dan dengan kewujudan lapangan terbang di sana, para petani di kawasan Pakan juga akan menikmati kemudahan pemasaran terus ke pasaran antarabangsa.

Pakan juga mengalu-alukan pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tempoh hari untuk menjadikan Pakan sebagai bandar baharu moden melalui Pelan Pembangunan Baharu Pakan. Pelan induk ini akan menyaksikan pembinaan pejabat kerajaan, perumahan, pusat komersil dan tempat riadah baharu.

“Dengan siapnya pelan ini nanti, ia pastinya nanti akan membantu meningkatkan pembangunan pertanian di Pakan dan kawasan berdekatan. Harapan saya sebagai wakil rakyat Pakan agar para petani meneruskan usaha mereka dengan memodenkan cara mereka bertani dan menternak. Pasaran sekarang memerlukan produk bermutu tinggi yang memerlukan teknologi baharu untuk mengusahakan nya," tambahnya lagi.

Jelas Mawan lagi, lokasi Pakan yang terletak didalam kawasan Bukit Sadok Agropolitan dan berdekatan dengan Betong-Sarikei “Food Basket” adalah amat strategik sekali kerana ia boleh menyumbang kepada industri hiliran sedang giat dipertingkatkan.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan kepada semua," katanya lagi.

Untuk rekod, tarikh keramat 6 Ogos setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada majlis pelancaran penubuhan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada 13 Ogos 1973.

Advertisement