Anda di sini

MCA percaya PN lebih berpeluang menang PRN Sabah jika satu lawan satu

Advertisement
CHONG menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan MCA Sabah yang diketuai pengerusinya, Lu Yen Tung berhubung hala tuju parti itu menjelang ketibaan PRN.
CHONG menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan MCA Sabah yang diketuai pengerusinya, Lu Yen Tung berhubung hala tuju parti itu menjelang ketibaan PRN.

PENAMPANG: Persatuan Cina Malaysia (MCA) percaya peluang Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lebih baik jika pertandingan satu lawan satu.

Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon berkata usul itu menjadi salah satu agenda di dalam perbincangan pertama Barisan Nasional (BN) mengenai PRN Sabah.

“Kita akan mengadakan perbincangan kedua pada masa terdekat dan diharap mencapai kesepakatan mengenai satu lawan satu untuk memastikan kemenangan PN,” katanya.

Chong berkata demikian semasa berucap pada sidang media di sini, semalam, menjelang PRN Sabah dan mengumumkan penukaran status Perhubungan MCA Sabah kepada MCA Sabah (untuk autonomi).

Menyentuh mengenai MCA Sabah, beliau berkata agenda autonomi menjadi intipati perjuangan parti itu yang diberikan ruang memilih calon sendiri pada PRN 2020.

“Kita mengadakan perjumpaan dengan MCA Sabah untuk membincangkan kesiapsiagaan menghadapi PRN dan turut berbincang mengenai pengagihan kerusi bersama BN Sabah.

“MCA Sabah mahu menumpukan perhatian kepada isu dasar iaitu membantu rakyat menikmati pembangunan ekonomi (termasuk perniagaan dan pelabur),” katanya. 

Menurutnya, amalan ‘lompat parti’ dalam kancah politik di Sabah juga perlu dihentikan kerana negeri ini memerlukan pihak yang benar-benar serius dalam mentadbir urus sumbernya.

Pada masa sama, beliau berkata pembangunan pendidikan akan turut diberi perhatian khususnya menarik lebih ramai pelajar di rantau Kepulauan Borneo menuntut di Sabah.

“Kita mahu pemimpin-pemimpin tempatan tampil menerajui MCA Sabah untuk membela kepentingan orang-orang Sabah dan kita mahu pemimpin sejati dari negeri ini,” katanya.

Ditanya berhubung calon-calon MCA pada PRN Sabah, beliau berkata selain muka baharu, kriteria seperti orang berpendidikan dan berpengalaman menjadi keutamaan.

  • oleh
  • Advertisement