Anda di sini

Manfaat peluang, kembangkan potensi koperasi

Advertisement
 Malisah (tiga kanan) merakamkan gambar kenangan simbolik bersama ahli koperasi sejurus merasmikan pejabat urusan koperasi terbabit.
ALBUM : Malisah (tiga kanan) merakamkan gambar kenangan simbolik bersama ahli koperasi sejurus merasmikan pejabat urusan koperasi terbabit.

BEAUFORT : Koperasi di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar disaran memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan koperasi masing-masing.

Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Beaufort, Malisah Sinin ketika membuat saranan tersebut berkata, ia bertujuan menggalakkan lagi koperasi terbabit bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Jelas beliau, koperasi terutama di luar bandar yang berpotensi wajar mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan demi meningkatkan pencapaian koperasi menerusi perniagaan yang dijalankan.

"Saya saran supaya koperasi di sini mengambil peluang yang disediakan kerajaan seperti memohon geran bantuan koperasi ataupun membuat pinjaman bagi memastikan pencapaian koperasi boleh ditingkatkan lagi, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Urusan Koperasi Keluarga Haji Jaideh Bin Haji Amat Beaufort Sabah Berhad dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Koperasi Keluarga Haji Jaideh Bin Haji Amat Beaufort Sabah Berhad, Zainih Bukari.

Dalam perkembangan lain, Malisah turut memuji pencapaian koperasi keluarga Haji Jaideh kerana telah mencapai satu tahap yang membanggakan sehingga berjaya menubuhkan pejabat urusan sendiri.

Jelasnya, koperasi yang dijalankan keluarga Haji Jaideh merupakan satu-satunya koperasi keluarga di daerah ini yang telah membuka pejabat urusan sendiri.

Selain itu, Malisah turut kagum dengan prestasi koperasi Haji Jaideh kerana mencapai aliran wang masuk mencecah sekitar RM140,000 dalam tempoh yang singkat walaupun koperasi tersebut baru berusia dua tahun lima bulan.

Justeru beliau menyeru supaya koperasi terbabit mengambil peluang yang disediakan kerajaan bagi mengembangkan lagi potensi koperasi sekaligus memberi manfaat secara tidak langsung kepada ahli koperasi.

  • oleh
  • Advertisement