Anda di sini

Kenyataan Hamzah tersasar dalam menyelesaikan isu PTI

Advertisement
 Vivian (kanan atas) bertanya mengenai isu PTI kepada Hamzah (kiri bawah).
SOAL JAWAP: Vivian (kanan atas) bertanya mengenai isu PTI kepada Hamzah (kiri bawah).

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan (DAP), Vivian Wong Shir Yee mempersoalkan jawapan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang didakwanya tersasar berhubung  masalah penyelesaian isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah.

“Semasa segmen jawapan Menteri di Dewan Rakyat kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin menyatakan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengeluarkan lebih banyak pas IMM13 kepada mereka yang tidak berdokumen di Sabah.

“Bagaimanapun, bulan lepas, pada 15 Jun, semasa lawatan rasmi beliau ke Sabah, hampir semua media rasmi di seluruh negara melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri telah mencadangkan IMM13 sebagai dokumen standard tunggal untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dan tanpa kewarganegaraan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata pengumuman ini disambut dengan keprihatinan dan keraguan yang besar mengenai bagaimana cadangan ini dapat menyelesaikan masalah besar atau isu yang kompleks ini.

"Sebagai menteri yang menjaga keselamatan negara kita, Menteri Dalam Negeri perlu memeriksa fakta dan tindakan beliau bersama. Semasa bahagian pertama jawapan, beliau mengatakan sedang memperhalusi cadangan IMM13 tetapi semasa digesa kemudiannya, beliau mengubah haluan dengan mengatakan tidak pernah mengatakan akan ada pengeluaran IMM13.

“Beliau tidak hanya bertentangan dengan diri di Dewan Rakyat tetapi telah membuat pusingan balik akan apa yang telah diumumkan beliau pada 15 Jun lepas. Ini sama sekali tidak dapat diterima daripada seorang menteri dan ini juga hanya akan menambah kekeliruan dan kekacauan berkenaan isu ini," tegas Vivian.

Terdahulu dalam sesi perdebatan Agong, Vivian juga menekankan kepada kerajaan untuk menyediakan perincian bagaimanakah IMM3 sebagai dokumen standard boleh menyelesaikan masalah kompleks berkenaan pendatang asing tanpa izin dan tanpa kewarganegaraan di Sabah.

"Mengapa IMM13, dokumen untuk mendaftarkan pelarian dari Selatan Filipina hampir 40 tahun lalu, masih dikeluarkan pada hari ini kepada pendatang asing di Sabah? Pertama, adakah Putrajaya menggalakkan lebih ramai PTI untuk datang ke Sabah untuk mengambil tempat tinggal di Sabah melalui pengeluaran IMM13 ini?

“Kedua, dimana garis panduan kita berkenaan siapa antara PTI yang berhak mendaftar? Ketiga, adakah anak dan cucu pemegang IMM13 juga berhak menjadi pemegang IMM13? Keempat, adakah pemegang IMM13 ini dibenarkan bekerja di Sabah seperti pemegang pas pemastautin yang sah? Atau adakah mereka dianggap sebagai buruh asing yang juga perlu membayar pungutan levi pekerja asing? Kelima, adakah anak-anak pemegang IMM13 dibenarkan menghadiri sekolah kebangsaan dan menerima rawatan di hospital kerajaan di Sabah?"

“Ini merupakan antara sebahagian isu kritikal yang Menteri perlu jawab sebelum dengan mudah membuat pengumuman berkenaan isu pendatang asing di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata apa yang dimaksudkan ialah, adalah tidak mudah atau semudahnya mengeluarkan pas kepada semua. Terdapat banyak kesan sosial dan keselamatan dalam setiap langkah yang kita ambil dalam mengatasi isu PTI.
 
Oleh itu, Vivian menyeru kepada semua Ahli Parlimen dari Sabah, terutama Datuk Dr.Jeffrey Kitingan, yang mana ketika ini berkhidmat dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN), untuk tidak hanya berpuas hati dengan jawatan menteri beliau dan hanya berdiam diri mengenai isu keselamatan nasional yang kritikal ini yang telah menyebabkan begitu banyak kesusahan kepada Sabah.

  • oleh
  • Advertisement