Anda di sini

Eropah khuatir gelombang kedua COVID-19, Trump disisih kerana sebar ‘maklumat salah’

Advertisement

WASHINGTON: Sementara Eropah memperketatkan sekatan virus untuk menangani ancaman gelombang kedua COVID-19, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin mendapati diri disisihkan oleh Facebook dan Twitter disebabkan oleh sebuah video di mana beliau mendakwa kanak-kanak “hampir imun” kepada pandemik itu.

Jumlah kematian di seluruh dunia melebihi 700,000 ketika dua gergasi media sosial AS itu mengambil tindakan terhadap Trump kerana menyebar apa yang mereka sebut sebagai “maklumat yang salah” mengenai virus tersebut.

Beberapa bandar raya dan negara Eropah melaksanakan semula sekatan yang lebih ketat, termasuk “minggu bangun” di Greece serta peraturan pelitup separuh muka dan kuarantin baharu di negara lain.

AS mencatatkan 1,262 kematian dan 53,158 kes lagi kelmarin, untuk menandakan 157,930 kematian keseluruhan dan lebih 4.8 juta kes – menjadikannya negara paling teruk terjejas setakat ini di dunia.

Sebanyak 703,640 kemati-an sudah direkodkan setakat ini di seluruh dunia, menurut satu kiraan AFP yang dikumpul daripada sumber rasmi setakat jam 0300 GMT Khamis.

Eropah masih rantau paling teruk terjejas dengan 211,764 kematian tetapi jumlah kematian sedang meningkat dengan cepat di Amerika Latin, dengan 208,329 kematian direkodkan.

Ketika mengumumkan pengenalan semula sekatan di Greece, jurucakap kerajaan Stelios Petsas memberitahu Mega TV: “Kami cuba membangunkan rakyat dengan mesej dan pengumuman harian mengenai langkah tambahan”, dan menyebut perjalanan, perhimpunan sosial dan pengangkutan awam sebagai kebimbangan utama bagi penularan.

Sekatan yang dilaksanakan semula di bandar raya Aber-deen, timur laut Scotland, termasuk penutupan semua tempat hospitaliti tertutup dan terbuka bermula lewat kelmarin ketika Menteri Pertama Nicola Sturgeon merujuk kepada apa yang boleh menjadi “wabak signifikan”.

Toulouse di barat daya Perancis telah mewajibkan pelitup separuh muka, de-ngan lebih banyak bandar di Perancis yang dijangka melakukan perkara yang sama.

Jerman memasuki wilayah Antwerp di Belgium ke dalam senarai wilayah yang mewajibkan pelawat yang tiba untuk dikuarantin selama 14 hari jika mereka tidak dapat menunjukkan saringan virus yang negatif.

Di Belgium, salah sebuah kilang memproses daging terbesar di negara itu, Westvlees, menghantar 225 kakitangan pulang untuk dikuarantin selepas kluster kes COVID-19 dikesan.

Switzerland menambah tanah besar Sepanyol kepada senarai kuarantin 46 negara selain Singapura dan Romania.

Di Belanda, langkah pemakaian pelitup separuh muka yang sama dikuatkuasa-kan di Rotterdam dan di beberapa kawasan kejiranan yang sibuk di Amsterdam, termasuk daerah lampu merahnya yang terkenal.

Dalam satu langkah yang luar biasa lewat kelmarin, Facebook mengeluarkan sebuah klip video tentang virus itu dari akaun Trump.

Ini merupakan kali pertama rangkaian sosial itu menurunkan salah satu tulisan presiden kerana melanggar peraturan kandungan – kerana “dakwaan bahawa sekumpulan manusia adalah imun daripada COVID-19 yang melanggar dasar kami berhubung maklumat yang salah dan berbahaya menge-nai COVID,” kata seorang jurucakap Facebook kepada AFP.

Sementara itu Twitter berkata ia telah menyekat akaun kempen rasmi Trump, juga kerana pelanggaran “maklumat salah” berhubung satu ciapan yang mengandungi video yang sama, di mana Trump bercakap mengenai pembukaan semula sekolah di AS bermula September.

Tidak lama kemudian, akaun @TeamTrump kembali aktif, yang membayangkan video yang dipertikaikan sudah diturunkan.

Juga di AS, Datuk Bandar New York Bill de Blasio, yang mengumumkan pos pemeriksaan baharu di jalan akses ke bandar raya, berkata: “Kami tidak akan membiarkan kerja keras kami terlepas dan akan terus melakukan segala yang termampu untuk memastikan warga New York selamat dan sihat.”

Virus berkenaan membunuh lebih 32,000 orang di bandar raya itu, yang merupakan salah sebuah pusat tumpuan yang pertama di AS.

Salah seorang ketua peri-bumi terkemuka di Brazil yang berusia 71 tahun Aritana Yawalapiti meninggal dunia kelmarin disebabkan oleh kerumitan pernafasan di-sebabkan oleh COVID-19.

Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, memacu peningkatan di Amerika Latin dan rantau Caribbean. Ia telah merekodkan hampir 2.9 juta kes, dan lebih 97,000 kematian, hampir separuh daripada 208,329 kematian di rantau tersebut.

Sementara itu bilangan kematian terus meningkat di Peru, yang melaporkan rekod harian baharu sebanyak 221 kematian dan 7,734 kes baharu, menurut perangkaan Kementerian Kesihatan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat COVID-19 sebanyak 20,228, dan 447,624 kes yang disahkan – tetapi jumlah kematian keseluruhan mungkin hampir 50,000 jika mengambil kira kes yang disyaki, menurut laporan media.

Peru, dengan populasi se-ramai 33 juta orang, mempunyai jumlah kematian ketiga tertinggi di Amerika Latin selepas Brazil dan Mexico.

Di Afrika Selatan, negara paling teruk terjejas di Afrika, kira-kira 24,000 pekerja kesihatan telah dijangkiti COVID-19 dan 181 sudah mati sejak Mac lalu, kata Menteri Kesihatan Zweli Mkwize.

Tetapi beliau menambah: “Kami belum sampai ke peringkat di mana kami tidak ada ruang di hospital untuk pesakit.”

Di Afghanistan, kementerian kesihatan berkata hampir satu pertiga daripada populasi – atau 10 juta orang – telah dijangkiti COVID-19.

Harapan dunia untuk menamatkan kitaran wabak dan sekatan pergerakan sekarang bergantung kepada kejayaan menemui rawatan, yang ternyata elusif setakat ini.

Kerajaan AS kelmarin mengumumkan pelaburan baharu berjumlah AS$1 bilion (RM4.5 bilion) dalam vaksin COVID-19 yang sedang diusahakan oleh Johnson & Johnson, dengan menjamin 100 juta dos.

J&J, menerusi anak syarikatnya Janssen, menerima AS$456 juta (RM2.05 bilion) pada Mac lalu.

Ujian klinikal ke atas manusia bermula di China bagi vaksin COVID-19 berpotensi yang dibuat oleh kumpulan farmaseutikal dari Jerman BioNTech bersama syarikat di China Fosun Pharma. — AFP

Advertisement