Anda di sini

Petronas bayar SST menerusi tujuh anak syarikatnya

Advertisement
Dato Sri JC Fong
Dato Sri JC Fong

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini dimaklumkan yang sejumlah tujuh anak syarikat milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah diikenal pasti akan membuat pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST).

Kesemua anak syarikat PETRONAS itu termasuk syarikat Petronas Carigali Sdn Bhd, juga akan didaftarkan sebagai badan yang dikenakan cukai di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 sebelum 15 Ogos depan. 

Prosiding mahkamah hari ini yang berlangsung di hadapan Hakim Alexander Alexander Siew How Wai menyaksikan kerajaan negeri tidak akan meneruskan samannya terhadap Petronas. 

Peguam Datuk Sri JC Fong dan Nur Azhar Bujang hadir di mahkamah pagi tadi untuk mewakili kerajaan negeri. 

PETRONAS pula diwakili peguam Andy Tan yang hadir bagi pihak Alvin Chong.

Dalam pada itu, Fong ketika dihubungi memaklumkan, dengan pembayaran SST hampir RM1.3 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2019 termasuk denda pembayaran lewat dan faedah daripada PETRONAS, kerajaan negeri akan memperoleh sumber pendapatan tambahan.

“Kini semuanya telah selesai. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri dan PETRONAS boleh maju ke hadapan dan mengukuhkan kerjasama antara keduanya dalam usaha untuk meningkatkan industri minyak dan gas di Sarawak,” ujar beliau ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.

Prosiding hari ini dilaksanakan setelah Petronas pada 3 Ogos lalu menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang menyatakan Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Pada masa sama juga, Kerajaan Sarawak menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai SST.

  • oleh
  • Advertisement