Anda di sini

Lelaki ditemui mati dalam kereta di Jalan Dusun

Advertisement
 

 KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati di dalam keretanya di tempat letak kereta bangunan bekas pejabat kerajaan di Jalan Dusun di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata pihaknya menerima laporan orang awam yang mencurigai sesuatu selepas melihat kereta mangsa iaitu sekitar jam 9.28 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching terus ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta.

"Beberapa anggota paramedik juga hadir di lokasi kejadian selepas itu dan mengesahkan mangsa yang berusia 51 tahun itu telah meninggal dunia.

"Pemeriksaan tubuh badan mangsa juga mendapati tiada sebarang kecederaan yang dialami pada mangsa," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Siasatan lanjut polis masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Advertisement