Anda di sini

Jual telur penyu semasa PKP, dua wanita didenda

Advertisement
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah memiliki 240 biji telur penyu.
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah memiliki 240 biji telur penyu.

KUCHING: Rayuan dua wanita yang menyatakan mereka terpaksa menjual telur penyu gara-gara kesuntukan wang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak melepaskan mereka daripada didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Siti Haminah Ten, 48, dan Rohayu Elias, 37, masing-masing didenda RM5,000 setiap seorang atas kesalahan memiliki 240 biji telur penyu tanpa izin dari Pengawal Kehidupan Liar.

Hakim Marutin Pagan juga mengarahkan mereka untuk dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Kedua-dua tertuduh yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 29(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan dihukum di bawah Seksyen 29(1)(c) akta yang sama, dilaporkan tidak membayar denda itu. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 3 Jun lalu, jam 4.19 petang di hadapan sebuah Sekolah Kebangsaan terletak di Petra Jaya, di sini. 

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota penguatkuasa dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) melakukan serbuan di tempat kejadian dan menahan kedua-dua tertuduh yang disyaki memiliki sejumlah telur penyu tanpa izin dari Pengawal Kehidupan Liar.

Mereka didakwa memiliki telur penyu dari keluarga Cheloniidae, yang dilindungi dan disenaraikan di bawah Bahagian 1 Jadual 1 di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1988.

Sebelum dijatuhkan hukum, kedua-dua tertuduh yang tinggal serumah dan merupakan ipar, merayu agar tidak dikenakan hukuman atau denda yang berat berikutan mereka tidak berpendapatan tetap dan perlu menyara keluarga. 

“Saya dan kakak ipar saya (Haminah) terpaksa menjual telur penyu kerana ia merupakan sumber pendapatan utama kami semasa PKP.

“Saya mempunyai empat orang anak untuk ditanggung dan turut menyara ibu bapa yang sudah uzur,” ujar tertuduh kedua, Rohayu kepada mahkamah.

Namun pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Voon Yan Sin memohon agar kedua-duanya dikenakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran supaya orang ramai tidak melakukan perbuatan yang serupa. 

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement