Anda di sini

ESSCom perlu aset udara sendiri untuk memperkasa kawalan ESSZone

Advertisement
 Ayub Khan bersama agensi dan unit udara pasukan keselamatan yang lain semasa mesyuarat tersebut.
MESYUARAT : Ayub Khan bersama agensi dan unit udara pasukan keselamatan yang lain semasa mesyuarat tersebut.

TAWAU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) harus memiliki pesawat sendiri untuk memperkasa rondaan dan kawalan udara khususnya di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Staf Operasi Udara ESSCom Brig. Jen Ayub Khan Mohd Khan berkata aset udara itu sangat penting dalam operasi pemantauan dan tinjauan dari ruang udara.

"Aset itu juga dapat melaksanakan tugas pemantauan dengan lebih teratur, terancang serta memberikan impak yang berkesan terutamanya dalam mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan (KFR) khususnya di kawasan hotspot dan laluan 'staging points' penjenayah," katanya.

Menurutnya, ESSCom juga boleh mengatur gerak aset udara dengan berkesan khususnya untuk mengesan dan melumpuhkan aktiviti penjenayah serta anasir-anasir luar yang cuba untuk mengganggu gugat keamanan di kawasan pantai timur Sabah.

"Kita yakin melalui rondaan agresif unit udara ESSCom bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk Pasukan Polis Marin dan Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dapat mematahkan modus operandi penjenayah rentas sempadan dengan berkesan," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Terdahulu, Ayub Khan telah mempengerusikan mesyuarat koordinasi dan perbincangan bersama dengan semua agensi penerbangan serta pihak berkuasa penerbangan di kawasan ESSZone di Tawau.

Beliau berkata, ESSCom sudah beroperasi lebih tujuh tahun, sepatutnya sudah memiliki sekurang-kurangya sebuah aset udara sendiri bagi memudahkan tugas pemantauan.

"Kita sedia maklum perairan ESSZone sangat luas dan perlunya aset tersebut untuk membanteras sebarang bentuk ancaman dan aktiviti jenayah rentas sempadan yang sering berlaku di perairan seperti jenayah penculikan dan penyeludupan," katanya.      

Mengulas lanjut, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini telah melaksanakan satu penilaian 'proof concept' pesawat multi sensor Reconnaissance dan Identification (MRI) pada tahun 2017.

"Selepas itu, diikuti oleh Lab Pengurusan Nilai (VM LAB) pada tahun 2018 untuk menilai keperluan ESSCom, tetapi masih lagi di peringkat status menunggu sehingga kini," katanya.

Ayub Khan berkata aset udara ini juga dianggap sebagai pasukan sokongan kepada aset-aset darat dan laut yang sedia ada di samping pada masa ini ESSCom dalam usaha untuk memperkukuh lagi kawalan dan rondaan melibatkan kerjasama pasukan keselamatan, selain daripada kerjasama trilateral antara negara indonesia dan Filipina.

"Aset udara ini boleh terus diatur gerak melalui perancangan dan maklumat perisikan ESSCom ke kawasan-kawasan hotspot serta yang telah dikenal pasti dengan cepat," katanya.

Beliau berkata pada masa kini,  ESSCom hanya bergantung kepada aset-aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM yang mempunyai misi serta jadual penerbangan yang telah ditetapkan oleh pihak atasan masing-masing di dalam kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

"Sekiranya ada operasi-operasi khas termasuk kes-kes kecemasan yang memerlukan tindakan pantas, amat sukar untuk bertindak dengan kadar segera kerana ESSCom tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan aset-aset berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau berharap supaya bahagian operasi udara turut dinaik taraf termasuk kelengkapan udara dengan menempatkan sebuah aset udara sendiri untuk memudahkan pertugasan dan pemantauan.

Mengulas mengenai mesyuarat tersebut, Ayub Khan berkata mesyuarat berkenaan adalah untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan operasi udara termasuk menyelaras pengoperasiannya yang dilaksanakan oleh setiap perkhidmatan untuk kepentingan bersama di dalam kawasan ESSZone.

"Selain itu, bertujuan untuk menyelaras tugasan pengoperasian ESSCom dengan semua agensi dan unit udara pasukan keselamatan bagi memastikan kawasan tanggungjawab dapat diselaraskan dengan teratur tanpa melibatkan pertindihan tugas serta memaksimumkan penggunaan aset yang ada," katanya.

  • oleh
  • Advertisement