Anda di sini

Dimensi berbeza ‘Big Stage 2020’ pada skala norma baharu

Advertisement
 

PROGRAM realiti ‘Big Stage’ ialah sebuah pertandingan nyanyian yang mempertaruhkan bakat muda generasi ‘Budak Baru Nak Up’ atau lebih dikenali sebagai ‘BBNU’. Kembali dengan pengisian serba mantap, penganjuran ‘Big Stage 2020’ bakal dilaksanakan mengikut SOP dan rutin kelaziman baharu dengan tagline ‘Dominasi BBNU Norma Baharu’.

Musim ketiga bakal menyaksikan persaingan sengit antara 12 bintang BBNU yang terdiri daripada lapan bintang lelaki dan empat bintang wanita di pentas utama selama lapan minggu.

Big Stage 2020 juga masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pemarkahan oleh barisan juri profesional dan undian peminat secara dalam talian.

Untuk bahagian pertama, 100 peratus keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para bintang berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sewaktu persembahan mingguan.

Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan berdasarkan undian peminat secara dalam menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK. Bintang yang mendapat undian terendah akan disingkirkan.

Untuk makluman, barisan juri profesional adalah terdiri daripada lima ahli panel iaitu tiga juri tetap, seorang juri jemputan dan seorang presiden netizen.

Sebelum ini, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Manakala penyanyi yang berasal dari Korea Selatan, Han Byul pula dinobatkan sebagi juara musim kedua (2019).

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Mohd Kamal, walaupun baru memasuki tahun penganjuran yang ketiga, pengaruh dan kredibiliti jenama Big Stage dalam memartabatkan karya dan bakat luar biasa angkatan BBNU yang lebih mendominasi ruang digital ke pentas komersial arus perdana ternyata membawa impak yang besar terhadap perkembangan industri seni tanah air secara menyeluruh.

Big Stage selaku platform perkongsian integrasi yang mengangkat seni muzik turut melakar sejarah yang membanggakan apabila berjaya menembusi tembok empat buah negara iaitu Brunei, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan menerusi inisiatif penganjuran musim kedua tahun lalu.

Meskipun tidak dapat membuka ruang perkongsian di peringkat antarabangsa untuk musim ini atas faktor keselamatan dan kesihatan bagi menangani krisis COVID-19 yang sedang melanda dunia, pengalaman tersebut telah membuka satu lembaran baharu yang menjadi pemangkin kepada semangat kami untuk terus menerbitkan kandungan hiburan berkualiti.

Dalam berhadapan dengan situasi ketidaktentuan pada ketika ini, pelbagai perubahan dan pengubahsuaian akan dilaksanakan demi mematuhi syarat dan garis panduan SOP norma baharu yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antara perubahan paling ketara untuk musim ini ialah penganjuran konsert mingguan yang akan dibuat pada skala yang lebih kecil melibatkan kehadiran jumlah penonton yang jauh lebih sedikit berbanding dua musim terdahulu.

Namun begitu, strategi pemantapan kandungan telah pun diatur dengan teliti agar tidak menjejaskan mutu penganjuran sekaligus menjamin kepuasan tontonan yang maksima kepada penonton di rumah.

Dua belas bintang Big Stage 2020 terdiri daripada Fadh Majid, 27(Melaka), Azzam Sham, 23 (Kuala Lumpur), Hafiz Zainal, 28 (Johor), Dinie Rashid, 28 (Pulau Pinang), Usop, 23 (Kedah), Qody, 26 (Kedah), Yamani Abdillah, 19 (Perak), Amir Hasan, 24 (Pahang), Hanie Soraya, 26 (Kuala Lumpur), Farisha Iris, 23 (Selangor), Nana Sheme, 25 (Sarawak) dan Sandra Dianne, 26 (Sabah).

Rangkaian program Big Stage 2020 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan aktiviti perkembangan para bintang ketika membuat persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan kapsul harian Studio Big Stage pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 10 Ogos 2020. Kompilasi liputan tersebut juga boleh ditonton menerusi ‘Kompilasi Studio Big Stage’ pada setiap hari Sabtu, jam 10.00 malam bermula 15 Ogos 2020.

Manakala konsert mingguan Big Stage 2020 pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama lapan minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 16 Ogos 2020.

Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama Big Stage 2020 juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105).

Untuk pengisian di platform digital pula, program Big Stage Live Plus akan disiarkan secara langsung bermula jam 9.00 malam di laman www.gempak/bigstage ketika berlangsungnya konsert mingguan Big Stage 2020 bermula 16 Ogos 2020.

TRIVIA MENGENAI  BIG STAGE 2020

 

* Penerbitan Big Stage 2020 turut disokong oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku Penaja Bersama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Rakan Radio Rasmi.

* Tiga figura seni tanah air iaitu Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Ajai bakal mengambil alih kerusi ‘Juri Tetap’ yang pernah diduduki oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Cakra Khan dan Judika pada musim sebelum ini.

* Ini merupakan pelantikan kali pertama buat Dayang Nurfaizah dan Ajai. Manakala Faizal Tahir pula kembali menerima mandat sebagai juri tetap Big Stage 2020 setelah setahun berehat daripada tugas penjurian musim lalu.

* Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga diundang khas pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.

* Buat julung kali, khidmat empat Presiden Netizen bakal dibawa masuk secara bergilir-gilir untuk turut mengadili persembahan para bintang bersama-sama barisan juri profesional pada setiap minggu. Kehadiran mereka di pentas Big Stage 2020 adalah untuk menjurikan pertandingan dengan kupasan perspektif yang mewakili suara ramai.

* Tiga selebriti berpengaruh yang cukup aktif di media sosial iaitu Neelofa, Caprice dan Michael Ang dilantik sebagai Presiden Netizen untuk musim ini.

* Bagi merancakkan lagi penganjuran musim terbaharu, produksi Big Stage 2020 juga bakal menyerahkan kuasa pelantikan kepada para peminat untuk memilih sendiri seorang lagi calon Presiden Netizen sebagai kelainan musim ketiga.

* Para peminat boleh mencalonkan selebriti kesayangan mereka sebagai Presiden Netizen menerusi hantaran entri di laman media sosial menggunakan hashtag #PNBigStage2020 mulai 4 hingga 22 Ogos 2020. Nama-nama selebriti yang dicadangkan akan dinilai oleh pihak produksi berdasarkan kriteria yang ditetapkan sebagai Presiden Netizen untuk mengisi kekosongan slot keempat untuk musim ini.

* Selain itu, khidmat Syafizawati Sharif atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi masih dikekalkan sebagai Guru Vokal bagi memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada para bintang. Manakala Hanafi Rosdi pula dilantik sebagai Koreografer untuk membantu persembahan mingguan para bintang di pentas Big Stage 2020.

*Big Stage 2020 juga masih menerima sentuhan barisan pemuzik berpengalaman tanah air yang diketuai oleh Sharhan Syazwan atau lebih popular dengan panggilan Cha’an selaku Pengarah Muzik untuk mengiringi persembahan secara ‘live’.

* Berdasarkan maklum balas positif yang diterima, Big Stage 2020 turut mengekalkan selebriti popular Alif Satar dan Sherry Al Hadad yang akan mengendalikan pentas utama selaku Hos untuk musim ini.

* Sementara itu, alumni Big Stage iaitu Sissy Imann (2018) dan Neeta (2019) dibawa masuk memeriahkan musim terbaharu sebagai Hos untuk program kapsul ‘Studio Big Stage’.

* Manakala personaliti ERA; Radin Amir dan hos program Gempak TV; Isha Norsham pula digandingkan sebagai Hos program Big Stage Live Plus yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

* Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Advertisement