Anda di sini

Letupan di Beirut: Malaysia sedia hulur bantuan - Muhyiddin

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) menzahirkan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan apa jua bantuan diperlukan Lubnan, selepas ibu negaranya digegarkan dengan letupan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut dan lebih 3,000 lagi cedera.

Beliau berkata kerajaan dan rakyat Malaysia bersimpati dengan keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu serta berdoa agar mereka tabah dalam menghadapi dugaan berkenaan.

“Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Lubnan atas tragedi letupan di Pelabuhan Beirut yang menggemparkan negara itu pagi tadi,” katanya dalam catatan terbaru di akaun Facebooknya.

Letupan yang berlaku kira-kira tengah malam Selasa waktu Malaysia dipercayai berpunca daripada kebakaran di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut yang dikatakan menyimpan bahan letupan.

Muhyiddin dalam pada itu turut menzahirkan rasa kesyukuran selepas dilaporkan semua rakyat Malaysia di Beirut selamat. - Bernama 

Advertisement