Anda di sini

Warga emas maut dirempuh kereta ketika lintas jalan di Bintulu

Advertisement
Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Gambar ihsan polis

BINTULU: Seorang wanita warga emas maut apabila dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di kawasan lampu isyarat Jalan Paragon di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar 6 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Sindol Pasai, 74, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Inspektor Jeffery Jembol berkata kejadian itu berlaku semasa pemandu bergerak dari Jalan Paragon menuju ke arah Kampung Baru.

"Apabila tiba di lampu isyarat tersebut, dia terlanggar seorang pejalan kaki yang melintasi jalan dari sebelah kiri ke kanan jalan.

"Mangsa yang cedera parah di kepala dan kaki maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffery berkata pemandu iaitu seorang wanita tempatan berumur 29 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.
 
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 
 

  • oleh
  • Advertisement