Anda di sini

Tiada diskriminasi altet: Shalin

Advertisement
 Shalin memulakan latihan penuh selepas menjalani ujian calitan COVID-19 ketika tinjauan fotoBernama di Sunway Mega Lanes  baru-baru ini. Sebelum ini, hanya skuad elit menyambung latihan sejak 15 Jun lepas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). — Gambar Bernama
LATIHAN: Shalin memulakan latihan penuh selepas menjalani ujian calitan COVID-19 ketika tinjauan fotoBernama di Sunway Mega Lanes baru-baru ini. Sebelum ini, hanya skuad elit menyambung latihan sejak 15 Jun lepas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kemerdekaan bukan sahaja membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah, tetapi juga satu anugerah tidak ternilai dalam membentuk negara bangsa yang meraikan nilai-nilai terpuji serta menolak segala bentuk penindasan.

Perkara ini ditekankan oleh ratu boling negara dan bekas juara dunia Shalin Zulkifli yang berkata ketiadaan diskriminasi atau larangan bagi wanita menceburi bidang sukan di negara ini antara nikmat kemerdekaan yang harus disyukuri.

Dalam konteks sukan, Shalin yang dianggap antara pemain boling paling berjaya dalam sejarah negara, berasa bertuah apabila layanan diberikan sama rata kepada atlet lelaki dan wanita.

“Apabila memenangi pingat di temasya sukan seperti Sukan Asia, atlet wanita menerima bayaran insentif yang sama dengan atlet lelaki, jadi dari segi itu kita memang sangat bertuah kerana mentaliti kita telah jauh ke depan.

“Kalau kita masih dijajah mungkin kita tidak dapat banyak kebebasan seperti hari ini. Saat ini, Malaysia tidak ada penindasan dari segi jantina,” kata  Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali itu kepada Bernama.

Ikon sukan negara berusia 42 tahun itu juga berharap generasi muda dapat menjadikan pengorbanan wira-wira negara terdahulu sebagai pedoman ketika menempuh cabaran.

“Kita perlu hargai apa yang kita sudah kecapi, apa yang mereka (orang terdahulu) telah bertungkus-lumus untuk membantu negara kita merdeka sehingga kita dapat apa yang kita ada sekarang ini.

“Walau dalam keadaan macam mana sekalipun, walau macam mana majunya kita dari segi teknologi dan sebagainya, kita masih perlu ada asas jati diri yang tinggi,” tegas Shalin.

Mengimbau kenangan merdeka, Shalin berkongsi kisah beliau mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan ketika di bangku sekolah.

“Saya pernah sertai perbarisan merdeka bersama unit beruniform Pandu Puteri bersama kumpulan pancaragam yang perlu berlatih berhari-hari dalam masa dua minggu,” katanya.

Selain itu, kejayaan merangkul gelaran juara dunia 2007 di Mexico pada bulan kemerdekaan adalah antara kenangan merdeka Shalin yang masih segar dalam ingatannya.

“Ketika itu aksi final jatuh pada hari berdekatan sambutan merdeka,” katanya.

Sebagai seorang atlet senior, Shalin yang masih beraksi di pentas antarabangsa berkata setiap individu perlu sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh sekiranya ingin mencapai kejayaan dalam melakukan sesuatu perkara.

“Kita tidak boleh tunggu benda (perkara) senang jatuh dari langit,” katanya. — Bernama

Advertisement