Anda di sini

SMK Matu manfaatkan sumbangan RM20,000 untuk membeli keperluan PdP pelajar

Advertisement
Nguang (enam kiri) menerima projektor LCD daripada Sulaiman (empat kiri) bersama wakil bekas pelajar yang lain.
Nguang (enam kiri) menerima projektor LCD daripada Sulaiman (empat kiri) bersama wakil bekas pelajar yang lain.

SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu memanfaatkan sumbangan RM20,000 daripada Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi untuk membeli projektor LCD bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Pengetua SMK Matu, Nguang Seng berkata melalui sumbangan itu menerusi inisiatif bekas pelajar SMK Matu-Daro iaitu Grup 1972-77, pihaknya membeli lima buah projektor LCD bernilai RM8,000.

"Sebahagian lebihan sumbangan itu digunakan untuk membeli buku rujukan bagi murid SPM," katanya pada majlis ringkas penyerahan sumbangan itu oleh rombongan wakil Grup 1972-77 SMK Matu-Daro, diketuai Sulaiman Bohari pada Isnin.

Ahmad Johnie yang juga penaung Grup 1972-77 SMK Matu-Daro, tidak berkesempatan menghadiri majlis berkenaan kerana menghadiri sidang Parlimen di Kuala Lumpur.

Dalam ucapan balasnya, Sulaiman berkata majlis itu sepatutnya diadakan 13 April lalu tetapi terpaksa ditunda kerana pandemik COVID-19.

Nguang Seng (tiga dari kanan di barisan depan) bergambar bersama wakil bekas pelajar SMK Matu-Daro (Grup 1972-77) selepas majlis itu.
Nguang Seng (tiga dari kanan di barisan depan) bergambar bersama wakil bekas pelajar SMK Matu-Daro (Grup 1972-77) selepas majlis itu.

"Dalam program awal, kami merancang untuk turut memberi ceramah motivasi kepada pelajar yang disampaikan oleh bekas pelajar yang berjaya.

"Namun, program ini turut ditunda sehingga masalah COVID-19 berakhir nanti bagi memastikan keselamatan semua," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Matu, Norhayati Abang Daud, berterima kasih kepada Ahmad Johnie atas sumbangan yang diberi.

"Wang ini digunakan oleh pihak sekolah membeli keperluan untuk anak didik meningkatkan prestasi dan pencapaian dalam peperiksaan dalam transformasi pendidikan.

"PIBG juga berharap agar pihak alumni terus dapat membantu PIBG dan pihak sekolah pada masa akan datang sama ada dari buah fikiran atau sumbangan seperti hari ini demi anak-anak SMK Matu," katanya.

Pada majlis itu Persatuan Melanau Sarikei (PMSi) turut menyumbang pelitup muka yang turut disampaikan oleh Sulaiman merangkap Pengerusi PMSi kepada pihak sekolah.

  • oleh
  • Advertisement