Anda di sini

Projek Anjung Usahawan di Lawas dijangka bermula Sept

Advertisement
 Awang Tengah (empat kiri) bersama (dari kiri) Denney, Awangku Jinal dan Morliah menyerahkan sumbangan daging korban kepada penduduk Kampung Ladang Baru di Lawas, kelmarin.
SEMPURNAKAN IBADAH: Awang Tengah (empat kiri) bersama (dari kiri) Denney, Awangku Jinal dan Morliah menyerahkan sumbangan daging korban kepada penduduk Kampung Ladang Baru di Lawas, kelmarin.

LAWAS: Kerajaan negeri merancang untuk membina satu lagi Anjung Usahawan di Kampung Ladang dekat sini di bawah projek Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan kos RM2.8 juta yang dijangka bermula September tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lokasi dan tapak sudah dikenal pasti yang akan dilengkapi kemudahan untuk perniagaan, stor dan kemudahan untuk pemprosesan makanan daripada hasil pertanian.

Beliau berkata, kerajaan juga merancang melalui peruntukan sedia ada untuk membuat jambatan di kawasan ini melalui peruntukan NRDA yang menghubungkan Kampung Ladang Baru ke bandar Lawas.

“Tapak untuk Anjung Usahawan ini sudah kita sediakan yang mengandungi tapak untuk perniagaan dan stor bagi yang berminat untuk terlibat dalam bidang memproses makanan daripada hasil pertanian dan banyak lagi kemudahan yang lain,” katanya pada Majlis Penyerahan Daging Kurban sempena Aidil Adha dan Sesi Ngobrol dan Ngupi di pekarangan Masjid Al Takwa Kampung Ladang Baru di sini, kelmarin.

Turut sama ialah isteri beliau Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latip dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti PBB Sarawak Kaunselor Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Kedua dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, Kampung Seberang Kedai juga akan dibina jalan raya di bawah NRDA.

“Banyak projek kerajaan yang sudah dan dalam pelaksanakan sekarang seperti balai polis, MRSM, CENTEXS dan pada masa ini sekolah menengah berasrama penuh yang menunggu kelulusan.

“Selain itu, salah satu lagi projek yang dirancang ialah projek jalan pesisir yang akan melalui bandar Lawas terus ke sempadan Sabah,” jelasnya.

Pada masa sama katanya, sektor pendidikan turut diberi perhatian dengan pembinaan sekolah baharu SK Ladang Baru dengan kos RM5.5 juta.

“Selain itu, SK Kampung Kerangan juga akan dibaik pulih dan ditambah pembinaan blok baharu dengan kos RM4.5 juta,”ujarnya lagi.

Awang Tengah mahu penduduk kampung mengusahakan tanah mereka dengan mendapat nasihat pihak Jabatan Pertanian mengikut kesesuaian kesuburan tanah untuk tanaman yang berpotensi.

Menurutnya, ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membina Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) yang kini sudah dalam pelaksanaan dalam memberi peluang kepada penduduk kampung memasarkan produk pertanian mereka.

“Ia bukan sahaja untuk pengumpulan hasil pertanian, namun sudah ada syarikat besar bersedia untuk memproses hasil pertanian seperti pisang, ubi kayu, buah-buahan dan lain-lain.

“Insya-Allah siap sebelum penghujung tahun ini.

“Oleh itu usahakan tanah dengan tanaman yang membuahkan hasil,” katanya.

Beliau menambah, pengusaha pertanian dan ternakan juga digalak menggunakan teknologi baharu.

Ini kerana katanya walaupun tidak mempunyai tanah yang luas mereka masih boleh meningkatkan hasil pertanian dan ternakan dengan teknologi moden.

“Jika kita tiada modal, banyak kemudahan disediakan untuk membantu dari segi perusahaan kecil seperti mikro kredit yang memberi pinjaman kepada kita untuk modal berniaga.

“Jadi boleh memohon kepada institusi atau Agrobank untuk melaksanakan mikro kredit ini,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement