Anda di sini

Polis gempur makmal dadah dengan rampasan RM1.33 juta di Miri

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak menumpaskan kegiatan makmal penghasilan dadah dan rampasan dadah bernilai kira-kira RM1.33 juta di Miri pada Isnin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar (gambar) berkata sepasukan JSJN diketuai ASP Jong Lak Kho membuat serbuan ke atas sebuah kondominium pada pukul 8 malam dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun dan wanita warganegara China berumur 28 tahun.

"Pemeriksaan mendapati suspek-suspek menggunakan kondominium itu untuk membuat campuran dadah dan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,330,740," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dadah yang dirampas ialah serbuk ekstasi dengan anggaran berat 9,055 gram; pil ekstasi (2,520 biji, berat kasar 756 gram); ketamin (berat kasar 998 gram); serbuk eramin 5 (berat kasar 3,159.20 gram); pil eramin 5 (11,000 biji); dan syabu (berat kasar 233 gram).

Dadah-dadah yang dirampas dalam serbuan tersebut.  

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dev berkata lagi, ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine, manakala suspek perempuan positif ketamin. 

"Saya mengucapkan tahniah kepada JSJN Sarawak yang telah mengecapi banyak kejayaan sejak kebelakangan ini. 

"PDRM Sarawak akan terus kekal komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan untuk membanteras kegiatan dadah di negeri ini," katanya.

Antara rampasan dalam serbuan tersebut.
Antara rampasan dalam serbuan tersebut.
  • oleh
  • Advertisement