Anda di sini

PGA Sarawak rampas rokok seludup bernilai lebih RM1 juta 

Advertisement
Mancha bersama pegawainya menunjukkan rokok-rokok yang dirampas dalam operasi tersebut.
Mancha bersama pegawainya menunjukkan rokok-rokok yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai jenis rokok yang disyaki diseludup masuk ke negara ini dianggarkan bernilai RM1,149,492 di sebuah rumah di Jalan Semaba pada Isnin.

Komandernya SAC Mancha Ata berkata kejayaan tersebut adalah hasil maklumat dan risikan '0ps Libas' sehingga membawa kepada serbuan ke atas premis tersebut yang dijadikan stor penyimpanan sekitar jam 8.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok putih dan kretek dan disyaki kesemuanya tidak bercukai.

"Pasukan serbuan menjumpai 7,890 karton rokok putih dan kretek yang disyaki tidak bercukai dengan nilai rampasan bernilai RM1,149,492 iaitu termasuk cukai.

"Tiada tangkapan dibuat, namun pasukan operasi berjaya menemui satu beg yang mengandungi kad pengenalan, lesen serta kad bank dan sejumlah wang tunai di lokasi serbuan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kesemua rokok tersebut kemudian dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM100,000 atau 10 kali nilai duti, atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelas Mancha.

Longgokan gula yang ditemui di sempadan Sarawak-Kalimantan di Kapit.
Longgokan gula yang ditemui di sempadan Sarawak-Kalimantan di Kapit.

Sementara di bawah Ops Benteng, PGA Briged Sarawak berjaya melumpuhkan cubaan menyeludup keluar 660 kilogram gula pasir melalui jalan tikus berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan di Tapak Megah-Long Nawang, Kapit pada Sabtu baru-baru ini.

Mancha memberitahu, gula tersebut ditemui ditinggalkan di kawasan berkenaan semasa anggotanya melalukan rondaan sekitar jam 3.30 petang.

"Intipan dilakukan selepas itu, namun tiada pihak yang muncul menyebabkan kita terus merampas kesemua gula tersebut yang dianggarkan bernilai RM2,046 untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kesemua barang kawalan tersebut kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kapit.

Mancha menegaskan pihaknya akan terus membanteras kegiatan penyeludupan dan orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi PGA Briged Sarawak di talian 082-587222.

"Kita mohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada kita berhubung sebarang kegiatan jenayah atau penyeludupan terutamanya di sempadan negara di seluruh negeri," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement