Anda di sini

MPKS kuat kuasa SOP ketat di Pasar Basah Bandar Riyal, kekang COVID-19

Advertisement
Minos (duduk, dua kanan) selepas bermesyuarat dengan jawatankuasa yang mewakili peniaga di Pasar Basah Bandar Riyal membincangkan peraturan dan SOP perlu dipatuhi sepanjang pasar berkenaan dibuka kepada orang ramai.
Minos (duduk, dua kanan) selepas bermesyuarat dengan jawatankuasa yang mewakili peniaga di Pasar Basah Bandar Riyal membincangkan peraturan dan SOP perlu dipatuhi sepanjang pasar berkenaan dibuka kepada orang ramai.

KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menguatkuasakan prosedur pengendalian standard (SOP) yang ketat di Pasar Basah Bandar Riyal bagi mengekang penularan COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Peter Minos berkata MPKS akan berusaha sebaik mungkin memastikan Pasar Basah Bandar Riyal bebas daripada jangkitan COVID-19 dengan memastikan setiap SOP dan peraturan dikuatkuasakan dipatuhi oleh peniaga dan orang ramai.

"Setiap peniaga mesti memakai pelitup separuh muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berniaga di dalam Pasar Basah Bandar Riyal.

"Selain itu, mereka perlu melalui pemeriksaan suhu badan yang akan dilakukan oleh pegawai MPKS, memberi maklumat peribadi dua kali sehari iaitu  pada pagi dan tengah hari," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Minos berkata orang ramai yang mahu berurusan di pasar basah berkenaan hanya dibenarkan menggunakan satu pintu masuk dan keluar.

Beliau berkata bagi menjaga penjarakan fizikal selamat, MPKS menetapkan jumlah maksimum pengguna berada di dalam pasar basah berkenaan seramai 50 orang pada satu-satu masa, dan hanya 10 pengguna dibenarkan masuk selepas kumpulan pertama 10 orang selesai menjalankan urusan.

"Semua pengguna atau pembeli mesti mematuhi peraturan dan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan," katanya.

Minos memberitahu, meskipun pegawai penguat kuasa MPKS ditempatkan di pintu masuk dan keluar utama pasar basah berkenaan, kerjasama dan bantuan jawatankuasa yang mewakili peniaga-peniaga di situ tetap diperlukan bagi memastikan tidak ada individu menggunakan laluan lain untuk memasuki premis tersebut.

"Kita akan meletakkan palang besi di sekeliling pasar basah bukan lagi tali plastik seperti sebelum ini. Kita membenarkan kerja-kerja mengangkat dan memunggah barangan di beberapa lokasi dibenarkan.

"Tandas, lantai dan parit di pasar basah ini mesti sentiasa bersih. Kontraktor telah diarah agar memastikan perkara ini dilakukan," ujarnya.

Selain itu, Minos berkata peniaga luar yang mencurigakan juga tidak akan dibenarkan berniaga pasar basah berkenaan.

"Dalam hal ini kita amat memerlukan peniaga di sini peka. Kita tidak mahu mana-mana peniaga luar membawa COVID-19 ke sini.

"Jika berlaku jangkitan mahupun hanya satu kes positif (COVID-19) dikesan, bermakna, pasar basah ini akan ditutup selama 14 hari dan untuk mendapat keyakinan semula pembeli untuk datang semula ke sini apabila ia dibuka semula, sudah tentunya mengambil masa," katanya.

Menurut Minos, jika kes positif dikesan Pasar Basah Bandar Riyal, ia tidak hanya akan memberi nama buruk kepada pasar basah berkenaan tetapi Kota Samarahan secara keseluruhannya.

"Oleh itu, sebarang kelalaian dan tindakan tidak mematuhi peraturan-peraturan dan SOP jangkitan COVID-19 bermakna masalah besar kepada semua," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement