Anda di sini

Keputusan Petronas tarik balik rayuan beri implikasi pendapatan negeri - Fatimah

Fatimah ketika ditemui media di Wisma Wanita, hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Keputusan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menarik balik kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi diyakini akan memberi implikasi kepada pendapatan negeri Sarawak hasil daripada cukai jualan negeri (SST) minyak dan gas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau bersama kabinet negeri lain menyifatkan keputusan itu adalah hadiah terbaik sempena hari jadi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada hari ini.

“Dengan keputusan ini, maknanya akan ada pendapatan tambahan untuk kerajaan negeri beri balik kepada rakyat sama ada dalam pembangunan infrastruktur dan seterusnya dalam usaha menuju ke era revolusi perindustrian.

“Keputusan ini sangat penting dan ia berita yang sangat baik. Kita amat berterima kasih dan bersyukur kerana ianya sudah menjadi realiti bermula daripada perjuangan Allahyarham Tok Nan dan diteruskan oleh Ketua Menteri kita yang sejak dari awal lagi sentiasa memberi keutamaan untuk mendapatkan hak Sarawak,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Wanita, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fatimah menambah, tindakan Petronas menarik balik kes mahkamah itu juga menggambarkan pandangan jauh Ketua Menteri telah membuahkan hasil.

“Tahniah kepada Ketua Menteri kita atas pencapaian ini. Justeru, sempena hari kelahiran beliau (Abang Johari) yang ke-70, saya ucapkan selamat hari jadi dan semoga beliau dianugerahkan kesihatan yang baik, diberi kebijaksanaan serta terus mendapat sokongan kuat daripada rakyat negeri ini.

“Pada masa sama, diharapkan matlamat untuk membawa Sarawak ke sebuah negeri yang aman, maju dan progresif di mana rakyat boleh hidup aman dan bahagia juga tercapai,” kata Fatimah

Advertisement