Anda di sini

Digi dan Vase buat tinjauan mengenai ‘Pendigitalan Sumber Manusia di Malaysia’

Advertisement
 

KUCHING: Digi telah melakukan tinjauan mengenai  ‘Pendigitalan Sumber Manusia di Malaysia’ bersama Vase bagi melihat Operasi Sumber Manusia (HR) meningkatkan produktiviti dalam perniagaan syarikat di negara ini.

Hasil tinjauan pihak Digi, mendapati 32 peratus pekerja berpendapat bahawa proses tradisional HR yang mereka guna pakai sekarang tidak berkesan dan tidak sistematik kerana memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Manakala, 21 peratus pekerja mengatakan cara tersebut mempunyai tahap keselamatan yang rendah dalam menjamin keselamatan data dan 21 peratus lagi mengeluh akan kesukaran yang dihadapi untuk mengesan dan mengukur pertumbuhan atau prestasi dengan menggunakan cara tradisional,” katanya menerusi kenyataan akhbar Digi semalam.

Ramai berpendapat bahawa digitalisasi adalah pilihan yang paling senang. Walau bagaimanapun, prosesnya tidaklah mudah.

Hal ini kerana, proses pendigitalan mungkin akan menimbulkan cabaran dalam pelbagai aspek bagi sesebuah syarikat, seperti kurangnya pendidikan dan pengalaman serta keengganan untuk mengubah sistem yang lama.

Tinjauan juga mendapati 36 peratus pekerja yang tidak berpengalaman dalam menggunakan platform digital HR tidak mengetahui sama ada syarikat mereka mempunyai rancangan untuk melakukan pendigitalan atau tidak.

Sementara 28 peratus mengatakan syarikat mereka mempunyai perancangan untuk bergerak ke arah digitalisasi tetapi tidak mempunyai rancangan yang kukuh dalam pelaksanaannya.

Syarikat tersebut telah menggunakan platform digital HR dan kemudiannya kembali ke proses tradisional menyatakan kos yang tinggi sebagai punca pertukaran tersebut (44 peratus), diikuti dengan 28 peratus syarikat yang tidak melihat pendigitalan sebagai satu keperluan kerana saiz syarikat yang kecil.

Juga, 17 peratus lagi meluahkan mengenai isu ketidakcekapan sistem dalam menggabungkan semua tugasan.

Sebilangan kecil 15 peratus pula bimbang digitalisasi akan menambah beban pada kerja mereka.

Meskipun penularan pandemik merupakan pendorong bagi kebanyakan syarikat untuk beralih ke medium digital, langkah tersebut telah pun terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan perluasan banyak syarikat lain di seluruh negara sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

Terdapat banyak perbincangan mengenai Industri 4.0 (IR4.0) yang kian rancak membangun dan juga galakan penggunaan digital dalam pelbagai inisiatif kerajaan serta pemberian geran untuk negara beralih ke arah ekonomi digital.

Untuk memulakan langkah dalam transformasi digital, syarikat perlu melihat pada keperluan digital mereka.

“Jika mereka sudah memiliki medium digital, mereka perlu menilai akan keberkesanannya berdasarkan tiga perkara utama iaitu Tempat Kerja, Tenaga Kerja dan Kerja.

Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan menjelaskan bahawa pendigitalan HR adalah langkah penting dalam mewujudkan pengalaman yang lebih menyenangkan para pekerja.

Ia akan mendorong kepada penghasilan kerja yang lebih berkualiti, di samping merupakan titik permulaan yang baik untuk syarikat mengorak langkah dalam transformasi digital.

“Untuk merencana masa hadapan dalam pekerjaan, terdapat keperluan yang berterusan untuk memerhati kemahiran-kemahiran baharu yang wujud, pengalaman pekerja dan trend kerja terkini.

“HR harus bergerak selari dengan peredaran masa untuk memenuhinya selain membantu melancarkan banyak proses yang biasanya memakan masa para pekerja sekaligus memudahkan kerja mereka,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai tinjauan yang dilakukan, layari: https://vase.ai/resources/human-resource-digitization-in-malaysia-are-we-ready/.

Advertisement